Taruhan terbaru Masya Masyitah kini berbahasa Mandarin ‘Jiu Meng Xin Su’.

KUALA LUMPUR, 16 Jun 2021 – Dengan menewaskan lebih daripada 3,000 peserta lain dari serata Asia, dan memenangi hadiah wang tunai sebanyak USD40,000 (RM160,000), Juara Yippi Star Quest 2020, Siti Nurmasyitah Mohd. Yusoff atau lebih terkenal dengan nama Masya Masyitah kini kembali dengan single solo pertama berbahasa Mandarin berjudul ‘Jiu Meng Xin Su’.

“Sudah lama Sya mengimpikan sebuah single solo Mandarin kerana ingin menghadiahkan sesuatu yang istimewa buat peminat baru ketika bertanding dalam Yippi Star Quest 2020, dan tak lupa juga buat peminat kesayangan di Malaysia yang sering tertanya-tanya bila agaknya Sya akan keluar dengan lagu baru,” katanya.

Jiu Meng Xin Su adalah ciptaan istimewa oleh penulis lirik dan komposer muzik hebat tempatan, Kai Kai, dan dihasilkan bersama oleh produser terkenal, Ong Peng Chu dalam genre slow rock.

“Lagu ini saya ciptakan khas buat Masya kerana kebolehannya menyanyi dalam bahasa Mandarin dengan fasih, manakala Peng Chu mahukan beliau menyanyikannya dengan stail slow rock ala Melayu bagi memberi kelainan terhadap lagu tersebut,” ulas Kai Kai.

Bercerita lanjut mengenai maksud lagu Jiu Meng Xin Su, penyanyi berusia 21 tahun ini berkata, “Ia mengisahkan tentang percintaan sepasang kekasih yang sanggup berkorban apa saja demi kebahagiaan masing-masing, akan tetapi malang menimpa apabila teman lelakinya terpaksa menyembunyikan penyakit yang dialaminya dan terus berdiam diri, dan teman wanitanya tertanya-tanya sehingga mereka berpisah dengan pengakhiran yang menyayat hati.

“Pada mulanya Sya diberikan demo lagu ini dan selepas mendengarnya, hati terus terpaut dengan melodi yang begitu indah sekali ditambah dengan jalan cerita yang pasti membuat sesiapa saja tersentuh, lalu En. Feros membuat keputusan agar pihak RocketFuel Entertainment menerbitkan lagu ini sebagai single solo pertama Sya dalam bahasa Mandarin kerana sudah tiba masanya.

Menurut En. Feros Sayna, selaku Ketua RocketFuel Entertainment yang baharu, “Saya yakin dengan bakat yang ada pada Masya, di usia yang muda beliau telah pun menunjukkan kebolehannya menyanyi dalam bahasa Mandarin dengan baik, ditambah pula dengan kejayaannya sebagai Juara Yippi Star Quest 2020 mengalahkan 3,000 peserta lain, ini membuktikan star power yang ada padanya cukup untuk pergi ke peringkat antarabangsa, khususnya negara China.

Saya berharap agar single Jiu Meng Xin Su dapat diterima ramai serta mampu menembusi pasaran China, dan sekaligus meraih perhatian dunia bahawa anak Malaysia mampu pergi jauh dan pastinya Malaysia boleh.

Proses rakaman yang hanya memakan masa selama satu jam berlangsung dengan lancar takala negara masih lagi dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Banyak yang Sya pelajari ketika sesi rakaman, Kai Kai dan Peng chu banyak memberi nasihat berguna dalam menyampaikan lagu tersebut agar feel sedih itu ada dan ia dilakukan berpandukan Standard Operating Procedures (SOP) yang ditetapkan.

“Manakala proses penggambaran video muzik (MV) juga turut dilakukan dengan SOP, dan yang menariknya Sya diarahkan berlakon dengan penghayatan yang mendalam demi menjiwai watak dalam MV tersebut, kalau nak tau lebih lanjut kenalah tonton di YouTube nanti,

Diusia yang begitu muda, pelbagai anugerah telah dirangkul Masya, ramai tertanya-tanya apa rahsia disebalik kejayaan beliau dan bagaimana hadiah kemenangan tersebut dibelanjakan.

“Terus terang Sya katakan tiada formula rahsia yang digunakan, cuma buat yang terbaik dan pesan orang tua Sya, buatlah dengan hati yang ikhlas dan ia akan membuahkan hasil, manakala hadiah yang dimenangi lebih kepada pembelian aset untuk masa hadapan.

“Harapan Sya agar single ini mendapat sambutan ramai di Malaysia dan dikalangan pendengar berbangsa Cina, dan jikalau ada rezeki semoga ia dapat pergi jauh sehingga ke negara China pada satu hari nanti.

Lagu ‘Jiu Meng Xin Su’ boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer, manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di YouTube RocketFuel Network.

Leave a Reply