ARTIS ROCKETFUEL MERIAHKAN RAYA DALAM ‘AIDILFITRI LEMBARAN BARU’

Nama-nama besar industri muzik tanah air, Masya Masyitah, Ara Johari, Ernie Zakri, Syamel, Usop dan Ruffedge bergabung suara dalam single Raya terbaharu ciptaan komposer legenda negara, saudara S. Atan dan Siso Kopratasa berjudul ‘Aidilfitri Lembaran Baru’ yang diterbitkan oleh Rocketfuel Records.

Pasangan suami-isteri selebriti popular negara, Syamel dan Ernie berkata, “Lagu Raya ini mengisahkan tentang suasana persediaan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba dalam keadaan norma baharu, namun masih mengekalkan mood keceriaan dengan semangat Beraya yang sama seperti tahun-tahun sebelumnya, dan juga sebagai iktibar tatkala dunia diduga dengan pandemik COVID-19, maka jadikan lah ia sebagai pemangkin semangat untuk mengharunginya dengan membuka lembaran baru dalam kehidupan.”

Azan daripada kumpulan Ruffedge mengulas, “Alhamdulillah kerana pengalaman dulu banyak mengajar kita bagaimana Beraya dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bersyukur lah kerana masih diberikan kesihatan dan mampu beribadah dengan sempurna di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini.

“Tak banyak persiapan yang dilakukan kami sekumpulan, cuma mengambil kira hal anak-anak yang masih ingin menyambut Aidilfitri dengan meriah, Raya kali ini lebih kepada media sosial berbanding bersosial dari rumah ke rumah.

Aidilfitri pada kali ini juga bakal disambut tanpa kebenaran merentas negeri sekali lagi, dan bagi anak jati Kedah yang merupakan Juara Yippi Star Quest 2020, Masya berkongsi cerita, “Sya sedih sebenarnya tak dapat pulang ke kampung Beraya bersama keluarga, namun begitu hidup perlu diteruskan jua, Sya akan hiaskan rumah dengan lampu-lampu Raya yang merupakan tradisi kami sekeluarga bagi mendapatkan feel Raya tersebut, disamping membeli kuih-kuih Raya yang bakal dihidangkan pada Aidilfitri nanti.”

Cerita Usop pula, “Raya pada tahun ini bakal disambut dalam kesederhanaan dengan persiapan yang biasa-biasa saja, ibu Usop akan memasak juadah kegemaran kami sekeluarga, dan cuma sedikit terkilan kerana tak dapat pulang ke Kedah untuk melawat sanak-saudara di sana.”

Kata pelantun lagu ‘Tetap Aku Cinta’ yang dilancarkan baharu-baharu ini, “Sudah 2 tahun Ara tak Beraya dengan keluarga, demi keselamatan semua Ara sanggup korbankan Raya pada kali ini, tak banyak yang Ara peruntukkan untuk Raya cuma ala kadar saja sebab menyambutnya berseorangan.”

Menurut En. Feros Sayna, Ketua Label Muzik, Rocketfuel Records, “Dalam keadaan negara yang masih lagi berdepan dengan pandemik COVID-19, kita jangan terus bersedih  apabila terpaksa menyambut Hari Raya dengan penuh kesuraman sekali lagi, saya menaruh kepercayaan yang tinggi dengan komposer hebat S. Atan dan Siso Kopratasa untuk menaikkan kembali semangat masyarakat menerusi lagu Aidilfitri Lembaran Baru ini.”

Ernie berharap, “Saya mewakili suami serta artis-artis Rocketfuel yang terlibat, semoga semua pendengar akan terhibur dan bergembira dengan lagu Aidilfitri Lembaran Baru kerana lagu ini mempunyai melodi seperti lagu-lagu Raya lama yang nostalgik dan mengimbau kenangan dulu serta kedengaran evergreen.”

Lagu ‘Aidilfitri Lembaran Baru’ boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer, manakala lirik video single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Leave a Reply

%d bloggers like this: