ELIZABETH TAN DAN HAZAMA BERSATU DALAM ‘BEKU

Elizabeth Tan dan Hazama Azmi bukanlah  suatu yang asing dalam industri seni Malaysia. Masing-masing berjaya membina nama sebagai anak seni yang mempunyai kerjaya cemerlang dalam muzik dan lakonan. Elizabeth Tan yang lebih mesra disapa sebagai Lizzy ini pernah popular dengan lagu ‘Knock Knock’, ‘Police Entry’, ‘Semua Sudah’ dan kali terakhir muncul dengan karya terbaharu menerusi lagu ‘Shh’ pada tahun 2019. Manakala Hazama yang dikenali menerusi untaian lagu popularnya seperti ‘Relakan Jiwa’, ‘Penglipur Lara’, ‘Malaikat’ serta ‘Peneman’,  baharu sahaja muncul dengan single terbaharu ‘Adinda’ pada Disember tahun lalu.  Jika Elizabeth Tan cenderung ke arah genre Pop R&B, Hazama pula tampil cemerlang menerusi genre Pop Rock. Perbezaan ini tidak menghalang kedua-dua penyanyi popular ini untuk bersatu dalam lagu.  Kini peminat seni tanahair bakal menyaksikan gandingan unik mereka menerusi sebuah lagu duet berjudul “BEKU”.

BEKU” merupakan ciptaan bersama John Jeevasingham, Firdaus Rahmat dan Omar K.  Lirik yang ditulis oleh Firdaus Rahmat ini cuba mengangkat kisah memori cinta lama yang masih meninggalkan kesan kepada pasangan yang gagal dalam percintaan. Mengulas tentang lagu ini, Hazama berkata, “Bagi saya lagu ini bersifat universal, sebuah pengalaman yang mungkin pernah dirasai setiap daripada kita. Walaupun sudah lama terpisah, kenangan cinta lama masih terpahat dan kadangkala sehingga kini memberi kesan mendalam kepada kita.

Kali terakhir berduet dalam lagu adalah menerusi lagu ‘Setia’ bersama Faizal tahir, Lizzy yang teruja dapat bekerjasama dengan Hazama untuk duet terbaharunya ini berkata, “Jika sebelum ini saya pernah ‘cover’ lagu dia, bila dapat peluang berduet dengan Hazama ianya memberikan saya suatu pengalaman yang berbeza. Menerusi lagu ini, saya baharu menyedari gandingan vokal kami mempunyai keserasian tersendiri.”

Lagu ini memberikan pengalaman muzik berbeza buat pendengar di luar sana,” ulas Hazama pula yang turut mengharapkan lagu duet ini mendapat sambutan positif peminat.

Leave a Reply

%d bloggers like this: