Seperti yang kita ketahui sebelum ini pelakon, pengarah berkaliber Ellie Suriaty Omar enggan mengambil vaksin di atas faktor-faktor tertentu yang beliau perjuangkan. Begitu juga dengan anak-anak beliau yang bersekolah di sekitar Kuala Lumpur
Walau bagaimanapun baru-baru ini belie mengakui beliau sudahpun mengambil dua dos vaksin pada pertengahan November lalu di sebuah klinik swasta.
“Azri bagitahu saya, dia sudah dua tahun memberi peluang kepada saya untuk menyuarakan pandangan dan pendapat mengenai keberkesanan vaksin.
“Jadi selepas dua tahun, dia menuntut saya untuk memenuhi permintaannya pula untuk saya ambil vaksin.
Sebagai isteri, saya akur dengan permintaan suami saya dan saya tidak boleh ketepikan permintaan suami saya.

Jelas Ellie lagi, dari awal lagi dia bukanlah seorang yang anti vaksin.
“Kalau saya anti vaksin, dari dulu saya takkan cucuk apa-apa vaksin pun. Lagipun, dulu saya pernah jadi pramugari. Untuk terbang ke sana-sini, saya perlu ambil vaksin-vaksin tertentu.
“Bukan saya tidak faham perkara-perkara tentang vaksin ini. Cuma, apa yang saya persoalkan tentang vaksin COVID-19 ini adalah tentang keberkesanannya kerana ia dibuat secara terburu-buru.
“Lagipun, pengambilan vaksin seperti satu mandatori di negara ini kerana berlaku sekatan terhadap kerja jika kita tidak mengambilnya. Jadi, dengan hal-hal seperti ini termasuk permintaan daripada Azri, saya akhirnya setuju mengambil vaksin,” katanya.
Sebaik sahaja lengkap dua dos vaksin, Ellie terus terlibat dengan projek pementasan Putri Santubong The Warrior Princess yang telah pun dipersembahkan di Kampung Budaya Sarawak, pada 11 hingga 12 Disember lalu.
“Putri Santubong The Warrior Princess adalah projek pertama yang menyaksikan saya kembali semula dalam industri selepas PKP dan selepas mengambil vaksin.
“Penglibatan saya adalah sebagai konsultan keseluruhan pementasan projek tersebut. Ia satu pengalaman yang cukup menarik. Apatah lagi apabila saya terpaksa berkampung di Kuching selama sebulan.
“Dan, saya juga seronok bekerja dengan seluruh tenaga kerja produksi dan teknikal Putri Santubong The Warrior Princess. Mereka memberikan kerjasama yang cukup baik.
Dalam perkembangan lain, Ellie juga bakal bertindak sebagai jurulatih lakon filem terbaharu arahan Osman Ali, Telaga Suriram. Karya ini bakal dibintangi Maya Karin, Farid Kamil, Nabila Huda serta Scha Al Yahya.
“Ini adalah filem kelima kolaborasi saya bersama Osman Ali sebagai jurulatih lakon. Sebelum ini, saya pernah terlibat dengan Ombak Rindu, Pilot Cafe, Kau Yang Satu dan Langsuir.
“Saya teruja untuk sama-sama menjayakan filem ini. Saya kira, saya punya keserasian yang baik dengan Osman Ali. Mungkin sebab itu, dia sering mengambil saya menjadi jurulatih lakon dalam filem-filem arahannya.
“Saya juga pengarah filem, jadi ia memudahkan saya untuk faham apa yang Osman Ali cuba ketengahkan dalam karya sentuhannya.