MEDIA PANAS

PEMENANG ANUGERAH MIHAS 2022 ANGKAT EKONOMI HALAL DUNIA MENERUSI KREATIVITI DAN INOVASI 

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi agensinya, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah menganjurkan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2022 edisi ke-18 secara hibrid. Bagi mengiktiraf budaya kreatif dan kecemerlangan inovatif dalam kalangan perniagaan Halal antarabangsa terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS), Anugerah MIHAS 2022 telah disampaikan dalam majlis berprestij tinggi yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 9 September 2022. 

Selain penyertaan syarikat tempatan, penyertaan syarikat antarabangsa turut diterima termasuk pempamer dari Kuwait, Indonesia, Thailand, Afrika Selatan, Palestin dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).  Penganugerahan ini mengambil kira penilaian daripada segi segmen produk, perkhidmatan, reruai pameran dan platform media sosial yang mengandungi ciri-ciri inovasi dan kreatif dalam usaha mempromosikan ekonomi Halal. Antara kategori Anugerah MIHAS adalah Reruai Pameran Terbaik, Inovatif Terbaik (Produk Makanan dan Minuman, Bukan Makanan & Minuman serta Perkhidmatan), Promosi MIHAS melalui Media Sosial Terbaik serta Pencapaian Halal Terbaik. 

Timbalan Menteri MITI, YB Senator Datuk Lim Ban Hong, berkata, “Usaha jitu yang ditunjukkan oleh pempamer di MIHAS 2022 perlu diberikan penghargaan dan pengiktirafan sebagai dorongan untuk terus maju dalam mempertingkatkan ekonomi Halal dunia. Saya berharap usaha murni khususnya diantara MITI, MATRADE, HDC dan JAKIM ini diberkati dan mendapat kejayaan dalam memartabatkan industri Halal Malaysia. Saya juga mengucapkan tahniah kepada pempamer – pempamer yang berjaya mendapat pengiktirafan di majlis anugerah MIHAS 2022.”

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berharap dengan adanya penganugerahan ini, ianya dapat menarik minat lebih ramai lagi pempamer tempatan dan antarabangsa untuk menyertai MIHAS pada masa akan datang. Ini adalah kerana potensi industri Halal global adalah besar di samping membuka peluang luas kepada syarikat-syarikat ini untuk meneroka pasaran baru. 

Beliau turut berkata “Menerusi Anugerah Promosi MIHAS melalui Media Sosial Terbaik, pempamer telah menunjukkan kreativiti serta inovasi produk dan perkhidmatan mereka dengan menggunakan platform media sosial. Langkah ini telah menggalakkan lagi inisiatif pendigitalan perniagaan Malaysia. Ini adalah selari dengan agenda MATRADE yang dinyatakan di dalam Rangka Tindakan Perdagangan Nasional (2021-2025) untuk menggalakkan budaya pendigitalan perniagaan dalam kalangan pengeksport”. 

Kesemua 1,258 pempamer MIHAS 2022 adalah layak bagi pemilihan dalam Anugerah Reruai Pameran Malaysia dan Antarabangsa Terbaik, manakala bagi Anugerah Media Sosial dan Inovatif Terbaik, pempamer MIHAS perlu mendaftar secara atas talian sebelum penilaian dijalankan. 

Pemilihan pemenang bagi Anugerah Reruai dan Pavilion dinilai dari segi kreativiti serta keunikan reka bentuk, persembahan dan penampilan secara keseluruhan. 

Pemilihan bagi Anugerah Inovatif pula adalah berdasarkan pencalonan dan persembahan pitching syarikat (secara fizikal), di mana sebanyak 61 penyertaan telah diterima. Ia merangkumi 37 penyertaan daripada sektor Makanan dan Minuman, 14 daripada sektor Bukan Makanan dan 10 penyertaan daripada sektor Perkhidmatan.   Penilaian penyertaan kategori ini menekan aspek kualiti dan inovasi yang diterapkan di dalam reka bentuk produk atau penawaran perkhidmatan. Aspek kelestarian yang dipamerkan peserta kategori ini juga membawa pemarkahan yang tinggi.

Seterusnya, promosi MIHAS 2022 yang membawa berimpak besar pula diiktiraf menerusi kategori Media Sosial Terbaik. Kategori ini berazam menggalakkan syarikat-syarikat menggunakan platform media sosial secara kreatif dalam mempromosikan produk, perkhidmatan dan jenama mereka, selain menghebahkan penyertaan pempamer di pameran MIHAS 2022. Keberkesanan strategi media sosial, kekerapan pujian, aduan atau kritikan dibalas dan diuruskan serta penggunaan hashtag seperti #MIHAS2022 #ChooseMalaysia #MIHASAwards2022 menjadi antara petunjuk prestasi kategori anugerah ini.

Anugerah Pencapaian Halal Terbaik pula diwujudkan bagi menghargai rakan strategik industri di dalam usaha merancakkan serta melonjakkan eksport Halal negara di peringkat global secara berterusan dan berdaya saing. 

Pemenang-pemenang Anugerah dipilih oleh barisan panel juri yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan memiliki kepakaran dalam bidang-bidang tersebut. Pemilihan pemenang dibuat berdasarkan keseluruhan ciri produk termasuk keasliannya, elemen inovatif, penampilan dan kualiti Halalnya.

Leave a Reply

Discover more from MEDIA PANAS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading