Rohana Jalil meninggal dunia, Azizul Khamis kongsi arwah suka sedekah & baca Quran setiap hari. Innalilahiwailaihirojiun. Kepadanya kita datang dan kepada-Nya kita kembali.
Hampir dua bulan dimasukkan ke hospital akibat kebocoran usus, penyanyi popular era 1980-an, Rohana Jalil, 68, yang dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.33 malam tadi.
Rohana Jalil Meninggal Dunia
Khabar duka itu disahkan pengurusnya yang dikenali sebagai Jepun.
Arwah sudah tidak sedarkan diri sejak tengah hari tadi. Selepas melihat keadaan arwah semakin kritikal, doktor meminta semua ahli keluarga berkumpul di hospital sejak jam 5 petang.
“Arwah pergi dengan tenang dan urusannya dipermudahkan,” katanya.
Menurut Jepun, jenazah arwah Rohana atau nama sebenarnya, Dara Abdul Jalil akan dibawa ke Masjid Al-Falah, USJ9, Subang Jaya untuk urusan solat jenazah.
“Bagi mereka yang ingin melihat arwah buat kali terakhir bolehlah berbuat datang ke Masjid Al-Falah, USJ9.
“Jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam USJ21, Subang Jaya sebelum waktu Zuhur,” ujarnya.
Terdahulu, keadaan arwah semakin lemah, Jepun memaklumkan arwah diletakkan di wad pemantauan bagi membolehkan hospital memberikan lebih perhatian kepadanya.
Kebocoran usus dialami menyebabkan kuman sudah merebak ke beberapa organ utama seperti paru-paru dan buah pinggang.
“Doktor kata ada potensi untuk jantungnya berhenti pada bila-bila masa berikutan kuman sudah merebak, ia juga disebabkan faktor usia,” katanya.
Allahyarham Rohana berasal dari Kota Tinggi, Johor mula menceburkan diri dalam bidang seni selepas memenangi pertandingan Bintang RTM pada 1980.

Sepanjang empat dekad berkecimpung dalam bidang muzik, arwah sudah merakamkan lebih 20 album termasuk album kompilasi dan projek khas.
Antara lagu popularnya Rayuan Ku, Resah Ku, Kerana Dia Kita Terpisah, Faez dan Jauh Terkenang.
Allahyarham Rohana meninggalkan suami, Jahangir Khan dan tiga cahaya mata perempuan.
Anak bongsunya, Syakila Nisha atau lebih dikenali dengan Kilafairy turut mengikut jejak langkahnya menjadi penyanyi.
Azizul Khamis Kongsi Arwah Suka Sedekah & Baca Quran Setiap Hari
Dalam pada itu, antara rakan artis yang cukup rapat dengan arwah ialah penyanyi Azizul Khamis selain Salwa Abdul Rahman.
Azizul akui masih terkenang-kenang sifat pemurah arwah yang tidak pernah berkira, malah, tidak keberatan menghulurkan wang ketika dirinya memerlukan bantuan, suatu ketika dahulu.
“Orang mungkin tidak tahu, arwah sebenarnya baik hati. Kalau perlukan duit, arwah beri pinjam dan beliau banyak menderma. “Walaupun mungkin arwah suka cakap terus-terang apa yang dirasa, namun, hatinya baik,” katanya lagi.
Azizul berkata, ketika melawat arwah bersama temannya yang juga penyanyi popular era 1980-an, Datin Salwa Abdul Rahman di hospital, baru-baru ini, Allahyarham Rohana meluahkan rasa sayang kepada mereka.