MEDIA PANAS

Syura Sah Bergelar Isteri Setelah 7 Tahun Menjanda

Selepas tujuh tahun bergelar ibu tunggal, penyanyi Syura Badron akhirnya sah bergelar isteri kepada kepada Muhd Farizat Ismail, kira kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Majlis yang berlangsung di Masjid As-Salam Puchong Perdana itu hanya dihadiri 30 ahli keluarga dan kenalan terdekat sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19.

Muhd Farizat, 28, melafazkan tiga kali akad nikah kerana terlalu gementar.

Pada majlis berkenaan, penyanyi dan bekas juara Master Chef Selebriti musim kedua itu menerima mas kahwin berupa jongkong emas 1.5 gram.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu menerima wang hantaran dipersembahkan dalam bentuk set barang kemas yang dirahsiakan nilainya.

Syura pula membalas dengan menyerahkan lima dulang hantaran berbalas jumlah sama daripada suaminya.

“Alhamdulillah segala galanya dipermudahkan. Saya bernikah dengan lelaki bujang dan orang kebanyakan. Dia menjalankan perniagaan makanan kecil kecilan.

“Kami kenal sejak lima tahun lalu. Dalam tempoh itu, dia menjadi penyokong dan pengkritik saya. Ketika saya menceburi perniagaan produk kecantikan kulit, Charmant, dia juga antara yang banyak membantu dan memberi tunjuk ajar,” katanya dalam satu kenyataan.

Syura yang popular dengan lagu berentak irama Malaysia seperti Nazam Berkasih dan Bakawali juga bersyukur kerana tiga anaknya merestui keputusannya untuk berkahwin.

“Mereka sendiri menangis kegembiraan saat saya sah bergelar isteri tadi. Sebagai anak yang kian membesar, mereka juga memahami pergelutan saya dalam meneruskan kelangsungan hidup.

“Namun, apa terjadi, saya tetap akan menjaga tiga amanah (anak) itu dengan baik.

“Malah anak juga serasi dengan suami saya selama ini,” katanya.

Syura dan Farizat akan diraikan dalam satu majlis resepsi di Cheras malam ini.

Terdahulu, teman baik Syura, Lan Solo dan isterinya, Shila Razlan masing masing berkongsi berita gembira mengenai pernikahannya di Instagram.

Untuk rekod, Syura dan bekas suaminya iaitu Mohd Fadhly Md Yassin berkahwin pada 16 April 2006. Mereka berpisah pada Ogos 2015.

Hasil perkahwinan pasangan itu dikurniakan tiga orang anak iaitu Nurul Dania Irdani, 15, Nurul Qaisara Sofia, 13, dan Muhammad Irfan Aryan, 11.

Leave a Reply

%d bloggers like this: