Ratu Rock Malaysia, Ella, baharu-baharu ini menjadi bualan hangat apabila beliau memadamkan kesemua kandungan media sosialnya. Beliau seterusnya mengadakan sidang media khas dengan pengumuman tentang konsert ‘JILID AKHIR: ELLA PUTERI KOTA’ bersempena 35 tahun pembabitannya dalam industri seni yang bakal berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada 10 Jun 2023 nanti.
Tiket konsert yang mula dijual pada 13 Mac 2023 jam 12:00 tengahari telah terjual sebanyak 50% hanya dalam tempoh 2 jam sahaja. Pihak penganjur Hitman Solutions dan RockQueen terpaksa mengambil langkah untuk menghentikan jualan sementara kerana lebih dari 25,000 orang telah beratur di laman web mengakibatkan proses pembelian menjadi tergendala. Namun, pihak penganjur telah segera menyelesaikannya dan penjualan disambung semula pada jam 5:00 petang.

Ini sedikitpun tidak mematahkan semangat peminat untuk terus mencuba untuk membeli tiket konsert Ella. Pada jam 7:00 malam, 90% tiket telah terjual dan selebihnya hanya tinggal kategori Rockzone. Secara rasminya tiket konsert JILID AKHIR: ELLA PUTERI KOTA habis terjual kesemuanya pada jam 12:00 tengahari keesokkan harinya pada 14 Mac, menandakan tiket-tiket tersebut ‘sold out’ dalam tempoh 24 jam selepas jualan bermula.