United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) telah melaporkan keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM1.22 bilion bagi tahun kewangan berakhir 2019, secara relatifnya agak mendatar berbanding tahun sebelumnya. Prestasi kukuh, walaupun lebih rendah sedikit, disebabkan oleh pendapatan faedah dan bukan faedah bersih yang lebih tinggi yang mana sebahagiannya telah diimbangi oleh peningkatan dalam perbelanjaan operasi dan peruntukan untuk kerugian kredit dijangka.
Jumlah pendapatan operasi Bank meningkat 3.2 peratus kepada RM3.10 bilion pada 2019, disebabkan oleh pendapatan faedah yang lebih tinggi daripada pinjaman dan instrumen hutang pada nilai saksama melalui pendapatan komprehensif lain. Pertumbuhan dalam pendapatan faedah bersih diimbangi sebahagiannya oleh perbelanjaan faedah yang lebih tinggi daripada penempatan bersih institusi kewangan. Pertumbuhan dalam pendapatan tanpa faedah telah disokong oleh pendapatan perdagangan dan pelaburan yang lebih tinggi. Pendapatan bersih daripada perniagaan Perbankan Islam Bank juga naik 2.9 peratus kepada RM42.0 juta pada tahun ini.
Jumlah peruntukan untuk kerugian kredit dijangka telah meningkat 9.9 peratus atau RM20.6 juta, disebabkan terutamanya oleh jangkaan kerugian yang lebih tinggi bagi pinjaman, pendahuluan, pembiayaan dan aset kewangan lain. Walau bagaimanapun, ini sebahagiannya diimbangi oleh masuk kira semula dalam komitmen dan luar jangkaan.
Nisbah kos kepada pendapatan UOB Malaysia meningkat sedikit kepada 40.9 peratus pada 2019 (2018: 39 peratus). Sementara itu, jumlah perbelanjaan operasi meningkat 8.6 peratus kepada RM1.27 bilion selepas mengambil kira pelaburan berterusan Bank dalam bakat dan infrastruktur teknologi untuk menyokong pertumbuhan perniagaan.
Pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan kasar meningkat 3.5 peratus kepada RM86.2 bilion manakala deposit bukan bank naik 0.5 peratus kepada RM89.1 bilion pada tempoh yang sama. Bank mengekalkan kualiti aset yang kukuh dengan mengekalkan nisbah pinjaman tak berbayar bersihnya pada aras rendah, iaitu 1.5 peratus sepanjang tahun.
Encik Wong Kim Choong, Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, berkata prestasi Bank pada 2019 mencerminkan pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan berikutan aktiviti pembuatan dan perdagangan global yang lebih lemah.

“Walaupun dengan penyederhanaan dalam ekonomi maju, permintaan yang lemah untuk barangan dan perkhidmatan, dan juga gangguan dalam rantaian bekalan global, UOB Malaysia dapat mencapai prestasi kukuh bagi tahun kewangan 2019. Disokong oleh kunci kira-kira yang kukuh dan pengurusan sumber yang berkesan, kami berjaya menangani halangan makro dan mengekalkan fokus kami dalam membantu para pelanggan merebut peluang tempatan dan di seluruh ASEAN dengan memanfaatkan kepakaran serantau Kumpulan UOB. Prestasi Bank pada 2019 juga menekankan tadbir urus korporat yang mantap, pengurusan risiko yang kukuh dan amalan perniagaan yang baik.”
Program Bantuan COVID-19 #UnitedforYou
Dalam persekitaran operasi yang semakin mencabar akibat kesan pandemik COVID-19, UOB Malaysia tetap fokus untuk membantu para pelanggan, kakitangan dan masyarakat sebagai sebahagian daripada Program Bantuan COVID-19 global Kumpulan UOB yang dinamakan #UnitedForYou.
Encik Wong berkata, “UOB Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk membantu di mana ia berupaya berbuat demikian, terutamanya pada waktu di mana semua orang bimbang tentang pekerjaan, kesihatan dan keselamatan mereka. Penularan wabak COVID-19 yang telah menjadi suatu pandemik, selain pertikaian perdagangan dan ketegangan geopolitik yang berterusan, akan melemahkan pertumbuhan global secara ketara pada 2020. Perintah berkurung akibat COVID-19 di kebanyakan negara telah mengganggu rantaian bekalan dan permintaan seluruh dunia, justeru memberi impak amat ketara terhadap operasi kebanyakan industri dan perniagaan.”
Untuk membantu mengurangkan kesan pandemik terhadap kesejahteraan kewangan pelanggannya, UOB Malaysia telah menyediakan moratorium untuk tempoh enam bulan bagi semua pinjaman, termasuk gadai janji dan kemudahan pembiayaan Islam kepada para pelanggan dan kakitangannya. Bank juga mengetepikan pengkompaunan faedah atas pinjaman dan gadai janji untuk semua pelanggan individu serta perusahaan kecil dan sederhana yang layak semasa tempoh moratorium enam bulan tersebut.
Bank juga menggalakkan pelanggannya untuk menggunakan perkhidmatan perbankan digital, seperti Perbankan Internet Peribadi UOB, Perbankan Internet Perniagaan Plus UOB dan aplikasi mudah alih UOB Mighty, sejajar dengan langkah-langkah penjarakan selamat yang perlu diamalkan oleh orang ramai.
Bagi kakitangan di semua premis dan cawangan, Bank telah mengambil semua langkah pencegahan yang diperlukan, termasuk pemeriksaan suhu badan serta pembersihan dan pembasmian kuman setiap hari. Bank juga mengurangkan kepadatan kakitangan di tempat kerja melalui langkah-langkah penjarakan selamat yang tegas dan juga mengarahkan mereka untuk bekerja mengikut syif kerja berlainan dan di beberapa lokasi kerja.
Dalam membantu masyarakat yang terjejas oleh pandemik ini, UOB Malaysia melancarkan Tabung Bantuan COVID-19 Heartbeat UOB untuk membantu meringankan beban kewangan dan kesukaran yang dihadapi oleh ramai orang dalam tempoh mencabar ini melalui pelbagai inisiatif. Dana tersebut akan digunakan untuk memberi barangan keperluan asas seperti makanan, produk kebersihan dan bahan pendidikan kepada para penerima. UOB Malaysia juga menyumbang RM500,000 melalui Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia bagi menyokong Dana Pandemik COVID-19 MERCY Malaysia.
Encik Wong berkata, “Kami tetap teguh dalam menyokong pelanggan kami sebagai rakan kewangan jangka panjang mereka yang komited untuk memberi perkhidmatan lebih baik melalui inovasi produk, teknologi dan kerjasama strategik bagi menjadikan perbankan lebih selamat, lebih pintar dan lebih mudah. Bagi kakitangan, keluarga mereka dan masyarakat, kami akan terus mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan mereka di samping membantu mereka ketika kami mengambil langkah-langkah pemulihan.”
“Setelah berada di Malaysia hampir 70 tahun dan di rantau ini selama lebih 80 tahun, kami telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran. Kami positif terhadap potensi jangka panjang ASEAN dan yakin bahawa kami berada dalam kedudukan baik untuk menghadapi persekitaran semasa yang amat mencabar dan muncul dengan lebih teguh.”
Laporan Tahunan UOB Malaysia 2019 boleh didapati di www.uob.com.my.