Sungai Siput: Remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan, disyaki terbabit kes kematian kanak-kanak Orang Asli yang ditemukan di kawasan paya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, suspek yang ditahan pada 5.30 petang tadi di perkampungan sama dengan mangsa akan dibawa ke mahkamah esok untuk permohonan reman.
“Pemeriksaan lanjut ke atas suspek mendapati dia tiada rekod kesalahan lampau.

“Dia akan dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Siput untuk permohonan reman, bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,”katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, polis turut memanggil beberapa individu lain dalam kalangan penduduk kampung itu untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Terdahulu, beliau memaklumkan kanak-kanak, Nuraina Humaira Rosli, 10, yang dilapor hilang sejak Jumaat ditemui meninggal dunia di kawasan berpaya di kampung Orang Asli berkenaan.
Katanya, mangsa adalah kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) cacat pendengaran dan lembam, dengan kali terakhir dilihat di Surau Madrasah Darulsalam, Kampung Bersah yang berjarak kurang 100 meter dari rumah keluarganya.