Tawau: Polis menahan tiga lelaki termasuk remaja berumur 15 tahun selepas disyaki merogol remaja perempuan yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu sebelum ditemui selamat di Kampung Jawa, Jalan Tengku Osman, dekat sini, jam 1 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa mendedahkan dia dirogol oleh tiga lelaki dikenalinya itu.

Beliau berkata, selain remaja lelaki, dua lagi suspek masing-masing berumur 29 tahun ditahan di sekitar daerah ini, lewat malam tadi.
“Mereka kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 4 September depan untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana kesalahan rogol dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh 20 tahun dan hukuman sebat,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kehilangan pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di sini, apabila dia tidak pulang ke rumah sehingga lewat petang pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, remaja itu ditemui selamat di Kampung Jawa, Jalan Tengku Osman, dekat sini, jam 1 pagi semalam.