Kuala Lumpur : “Alhamdulillah, dah selesai satu beban dan seperti anda sedia maklum, saya ada satu lagi kes di mahkamah nanti.”
Ini reaksi pelakon, Puteri Sarah Liyana selepas kes saman ke atas bekas kakak ipar Ira Kazar iaitu Wiwi Darvinda Mazwena Mazlan selesai

“Apa yang penting kes ini sudah selesai sepenuhnya dan dia (Wiwi Darvinda) pun dah insaf dan menyesal,” katanya ditemui selepas kes prosiding tuntutan saman fitnah itu di Mahkamah Sesyen Sivil, Kuala Lumpur
Ditanya sama ada Wiwi Darvinda pernah berhubung dengannya secara peribadi, Puteri Sarah berkata, segala komunikasi membabitkan isu saman di mahkamah itu hanya dilakukan melalui peguam masing-masing.
“Dia tak ada berhubung dengan saya secara peribadi untuk menyatakan permohonan maaf sebab kami berhubung hanya melalui peguam saja,” katanya.
Terdahulu, tuntutan saman Puteri Sarah ke atas Wiwi Darvinda selesai apabila mereka bersetuju untuk menyelesaikan kes saman fitnah itu secara baik di luar mahkamah.
Terdahulu, prosiding kes saman itu dilakukan di hadapan Hakim Yasmin Abdul Razak di Mahkamah Sesyen Sivil, Kuala Lumpur, hari ini dengan Wiwi Darvinda juga dikehendaki memohon maaf secara terbuka dengan Puteri Sarah dengan bersaksikan hakim.
Dalam pada itu, Wiwi Darvinda juga mengakui kesalahan dilakukannya dan berasa insaf serta kesal kerana sudah memuatnaik hantaran berbaur tohmahan kepada Puteri Sarah di akaun Instagram miliknya tahun lalu.
Wiwi Darvinda turut diperintah melakukan permohonan maaf secara terbuka tanpa syarat untuk tatapan umum selama tujuh hari di Instagram miliknya bermula hari ini serta membayar ganti rugi sebanyak RM5,000 yang merangkumi keseluruhan kos guaman.
Puteri Sarah sebelum ini memfailkan tuntutan saman fitnah terhadap Wiwi Darvinda itu menerusi peguam mewakilinya, Akberdin pada 30 Ogos tahun lalu.