Kemaman: Polis menyerbu sebuah premis berhampiran di Kuala Kemaman di sini, malam tadi dan mengarahkan konsert dikenali sebagai Malam Perayaan Patah Hati yang dianjurkan di situ dihentikan serta-merta, kira-kira 11 malam.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, tindakan diambil selepas pihaknya menerima laporan awam berhubung kesesakan lalu lintas serta gangguan bunyi muzik yang kuat di situ kira-kira 9.20 malam.

“Kira-kira 1,500 peserta hadir ke program yang didapati tidak mempunyai kelulusan permit.
“Penganjur diarah menghentikan program itu dan mengarahkan kesemua hadirin bersurai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hanyan berkata, siasatan polis mendapati penganjur konsert terbabit tidak mengendahkan notis larangan berkumpul yang dikeluarkan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).
“Siasatan lanjut dilakukan dan kita akan memanggil penganjur untuk memberi keterangan,” katanya yang turut memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002.
Rakaman video mengenai arahan pemberhentian penganjuran konsert itu turut tular di media sosial.