Kuala Lumpur: ‘Kami cuba kembangkan perniagaan secara agresif dan tidak merancang untuk hari mendatang. Kami minta maaf’.
Itu kata pengasas FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) Datin Vivy Yusof dalam satu kenyataan bertajuk ‘Mengambil tanggungjawab atas kegagalan’ di Instagram miliknya hari ini.
“Berhubung laporan media membabitkan FashionValet, kami rasakan penting untuk kami mengeluarkan kenyataan di atas kapasiti kami sebagai pengasas FashionValet.
“Kami berdua sebagai individu yang menguruskan syarikat akan mengambil tanggungjawab penuh, kami gagalkan pelabur kami.

“Kami berasa amat kecewa dan kesal akan perkara yang berlaku, kami betul-betul minta maaf,” katanya dalam kenyataan bersama suaminya Datuk Fadzaruddin Shah Anuar.
Vivy berkata, kegagalan berpunca tindakan mereka yang membuat pelaburan terlalu banyak ke dalam sistem teknologi dan memperbesarkan pasukan dengan terlalu cepat.
Katanya, kegagalan itu juga terjadi susulan pembukaan terlalu banyak kedai runcit fizikal selepas menjangkakan kemajuan berterusan namun menerima tamparan hebat semasa pandemik melanda.
“Kami cuba sedaya upaya menjimatkan perbelanjaan untuk menjaga aliran tunai termasuk menutup platform e-dagang namun keadaan terus meruncing.
“Banyak perkara yang kami mahu ubah jika boleh, banyak faktor lain kami harap kami pertimbangkan sebelum mengembangkan perniagaan ini,” katanya.
Usahawan fesyen itu berkata, mereka kesal kerana mengakibatkan pelbagai kontroversi sehingga terpalit nama Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Katanya, kedua-dua agensi terbabit sentiasa bertindak profesional dan setiap tindakan diambil adalah demi kepentingan syarikat.
Menurutnya, mereka berharap isu berkenaan tidak menjadi penghalang buat masyarakat untuk terus menyokong produk dan usahawan tempatan lain.
“Kami merasakan sudah tiba masa kami mengundurkan diri daripada perniagaan dan melepaskan semua jawatan.
“Kami tidak mahu isu ini berpanjangan dan memberi kesan kepada syarikat,” katanya