Kuala Lumpur: Gegar Vaganza 11 (GV11) kembali kepada konsep asal di mana mempertaruhkan 14 peserta yang pernah popular di era masing-masing dengan lagu popular.
Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, keputusan itu dibuat selepas menyemak maklum balas penonton yang mahukan konsep asal itu dikembalikan.

“GV9 dan GV10, kami campurkan serta yang masih aktif dan tidak aktif. Jadi, dari situ kami terima maklum balas yang mana penonton mahukan komsep penyanyi dengan one hit wonder. Jadi, kami bawakan semula GV ke format asal.
“Untuk memujuk peserta, alhamdulillah dan terima kasih kerana sudi menjadi sebahagian program ini. Tak mudah untuk memujuk legenda-legenda ini.
“Ada antara mereka yang mana proses memujuk itu sudah berlangsung lima tahun yang lalu.
“Tapi, boleh dikatakan apabila mereka menyertai program ini, mereka dapat menunjukkan persembahan mereka di atas pentas. Alhamdulillah, inilah senarai peserta GV11,” katanya
Tahun ini, GV11 membariskan 14 peserta iaitu Ronnie Hussein, Nai Dinamik, Fairuz Selamat, Yazid Lovehunters, Reshmonu, Liza Aziz, Illa Sabry, Sheila Abdul, Arrora Salwa, Zehra Zambri, Ning Baizura, serta lagenda dari Indonesia iaitu Inka Christie, Dadali Dyrga dan The Lima yang dianggotai oleh Taura, Bony dan Arif.
“Kami terbuka. Setiap tahun tak ada tetapkan kuota negara. Cuma, tahun ini kami dapat tiga peserta Indonesia untuk sertai. Dengan adanya peserta dari negara lain, akan menambah persaingan,” katanya.