Alhamdulilah… Syamsul sudah berubah

Alhamdulilah… Syamsul sudah berubah

Kuala Lumpur : Penerbit filem, Datuk Yusof Haslam, 70, bersyukur dan gembira dengan perubahan positif anaknya, Syamsul Yusof, 40, yang sudah kembali rapat bersama keluarga dan tidak lagi menjauhkan diri sebagaimana dulu.

Yusof yang kini popular sebagai dukun dalam filem Don Dukun berkata, Syamsul juga selalu menghubunginya dan isteri, Datin Patimah Ismail apabila tidak dapat pulang ke rumah bertemu mereka kerana kesibukan kerja.

“Alhamdulillah, semuanya baik-baik saja. Saya dan isteri sangat bersyukur melihat perubahan sikap Syamsul yang sudah rapat dengan keluarga. Dia juga selalu hubungi ibunya untuk bertanya khabar dan isteri saya pun sangat gembira.

“Malah, bila dia (Syamsul) sibuk kerja dan tak dapat balik ke rumah, dia akan ‘call’ ibunya beritahu dan mohon maaf sebab tak balik. Dia juga kerap hantar mesej dan buat kiriman suara kepada ibunya. Jadi, antara kami memang selalu berhubung.

“Cuma sekarang setahu saya, Syamsul berada di Pahang untuk siapkan penggambaran filem baharunya, KhawariJ terbitan Astro Shaw. Dia memang tengah banyak kerja ketika ini untuk filem-filemnya,” katanya

Menurut Yusof, melihat kegembiraan isterinya yang kini ceria selalu membuatkan dia berasa amat lega dan tenang.

Katanya, tiada ibu bapa yang mahu menjauh daripada anak-anak.

“Apatah lagi, pada usia saya dan isteri yang sudah warga emas ini, kami hanya mahu hubungan anak-beranak baik-baik saja. Kasih sayang anak-anak itu yang kami utamakan.
“Apa yang dah lepas itu, biarlah dan tak perlu terus dikenang lagi. Saya dan isteri akan mendoakan anak-anak, begitu juga buat Puteri Sarah Liyana yang kami tetap anggap sebagai anak menantu,” katanya.

Pada 9 September lalu, Syamsul akhirnya membuka pintu hati dan kembali ke pangkuan keluarga selepas bertahun-tahun tidak berjumpa dan terputus hubungan apabila dia menghubungi sendiri ibunya untuk balik ke rumah.

Berbicara juga Don Dukun yang kini mencatat kutipan lebih RM4 juta di pawagam, Yusof amat berterima kasih dengan sokongan baik penonton terhadap karya filem tempatan.

“Alhamdulillah, saya tak sangka orang suka tengok Don Dukun. Saya pula pertama kali berlakon watak dukun dan terima kasih di atas sokongannya. Apapun, saya dah buat apa yang termampu,” katanya.

Selain Yusof, Don Dukun arahan Waan Hafiz dibintangi Zul Ariffin, Ropie, Douglas Lim, Sangeeta Krishnasamy, Marsha Milan, Datuk Yusof Haslam dan ramai lagi.

Leave a Reply

Discover more from mediapanasonline.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading