Kuala Lumpur: Penguatkuasaan undang-undang peraturan papan tanda dwibahasa oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah selaras dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara.
DBKL dalam kenyataan memaklumkan, perkara berhubung penggunaan bahasa kebangsaan dan lain-lain bahasa adalah antara syarat yang sudah digariskan bagi permohonan lesen perniagaan.

“DBKL bertanggungjawab memproses dan meluluskan papan tanda iklan premis perniagaan yang juga sebahagian daripada lesen komposit iaitu lesen yang diluluskan bersama lesen premis perniagaan.
“Semua pemilik premis perniagaan hendaklah memastikan pemasangan papan tanda iklan di premis perniagaan, perlu terlebih dahulu memohon lesen sebagaimana diperuntukkan di dalam perenggan 5 (1) Undang-undang Kecil Iklan WPKL 1982.
“Bagi permohonan lesen papan tanda premis ini, pengesahan visual daripada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah salah satu dokumen wajib yang perlu diserahkan oleh pemohon kepada DBKL untuk kelulusan,” katanya.
Katanya, mana-mana premis yang ingkar boleh dikenakan tindakan kompaun dan diarahkan untuk menurunkan papan iklan terbabit.
Selain itu, katanya, operasi penguatkuasaan DBKL hanya membabitkan premis tiada permit papan tanda atau papan tanda melanggar syarat ditetapkan.
Menurutnya, setiap papan tanda premis di ibu negara perlu mendapatkan permit dan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu terlebih dahulu.
“Sepanjang tahun ini, DBKL dengan kerjasama DBP menjalankan operasi di enam lokasi pusat membeli belah dan mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan 31 notis kesalahan terhadap premis yang menyalahi peraturan.
“Antaranya, premis mempunyai lesen perniagaan tetapi tidak mempunyai kelulusan lesen iklan papan tanda atau premis memiliki lesen perniagaan dan lesen papan tanda tetapi melanggar syarat iklan,” katanya.
Menurutnya, apa sahaja bahasa boleh digunakan pada papan tanda tetapi bahasa kebangsaan harus diberi keutamaan dan mesti bersaiz lebih besar daripada bahasa lain berdasarkan Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Bagaimanapun katanya, sekiranya nama sesebuah syarikat, firma, persatuan didaftarkan secara rasmi mempunyai perkataan asing, ia tidak perlu diterjemahkan kepada bahasa kebangsaan.
Semalam, Menteri Pelancongan Datuk Seri Tiong King Sing, dalam satu kenyataan di Facebooknya, menyatakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan penguatkuasaan yang diambil DBKL berhubung peraturan papan tanda dwibahasa.
Beliau dilapor berkata, penguatkuasaan oleh DBKL itu mencetuskan tindak balas melampaui batas, menimbulkan rasa tidak puas hati serta mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan pelancong.
Tiong dipetik berkata, tindakan itu menyebabkan pelancong mempersoalkan keterbukaan dan keterangkuman Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum
Khamis lalu, media melaporkan DBKL melancarkan operasi berskala besar menyasarkan papan tanda yang tidak memaparkan bahasa Melayu di beberapa kawasan, termasuk Segambut, Pudu, dan Jalan Silang di Kuala Lumpur.