Kuantan: Suami kepada pelakon dan bekas model Zahnita Wilson dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan berasingan berkaitan mendatangkan kecederaan terhadap isteri dan kesalahan berkaitan dadah.
Bagi pertuduhan mendatangkan kecederaan, Abd Zackery Ghouse Abd Gafoor, 46, tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Mengikut pertuduhan, Abd Zackery Ghouse didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya, Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39, di sebuah rumah di Indera Mahkota, di sini, 8.20 pagi pada 7 Mei lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya B. Deevagaran Naidu, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman.
Majistret Tengku Eliana membenarkan tertuduh yang juga kontraktor diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 7 Januari depan.
Di mahkamah berasingan, tiada pengakuan direkodkan daripada Abd Zackery Ghouse ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menggunakan dadah 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada 5.45 petang, 2 Disember lalu.
Oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 38B akta yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Luqman Hakim Mohamad Usari, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Amirull Afiqq.
Mahkamah menetapkan jaminan RM2,600 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 7 Februari depan.