Kuala Lumpur: Hospital Bersalin Razif (HBR) menafikan dakwaan tular pihaknya ‘menyimpan’ jenazah bayi dan melarang disemadikan lebih awal.
HBR dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook menjelaskan, ibu bayi itu diterima masuk ke hospital atas dasar kemanusiaan.

“Pesakit mendakwa dia hamil anak pertama dan tidak pernah menjalani pemeriksaan antenatal sepanjang tempoh itu. Sebaliknya, dia hanya menggunakan aplikasi telefon pintar untuk memantau kehamilannya.
“Pesakit tiba di hospital dalam keadaan sakit mahu bersalin dan diiringi seorang lelaki yang diperkenalkan sebagai suaminya. Bagaimanapun, dia kemudiannya mengaku bahawa mereka tidak berkahwin.
“Pesakit diterima masuk atas dasar kemanusiaan walaupun tidak berdaftar dan tidak menjalani saringan awal,” katanya.
HBR berkata, pesakit dibawa ke bilik bersalin dan melahirkan serta-merta.
“Malangnya, bayi yang dilahirkan mengalami sindrom cyclops, dengan hanya satu mata, tiada hidung dan tiada dubur. Bayi itu juga menunjukkan tanda-tanda kritikal dan meninggal dunia beberapa minit selepas itu.
“Pihak hospital memaklumkan kepada lelaki yang menemani pesakit mengenai keadaan bayi dan mengarahkan untuk menguruskan pengebumian. Namun, lelaki itu meninggalkan hospital dan gagal memberikan kerjasama penuh dalam urusan pengebumian.
“Pesakit dibenarkan keluar dari hospital keesokan harinya dan berjanji bahawa suaminya akan menguruskan pengebumian. Namun selepas beberapa hari, pihak hospital masih menunggu proses itu dijalankan,” kata kenyataan itu lagi.
Menurut HBR, sepanjang tempoh menunggu, pihaknya memberikan sokongan kepada pesakit termasuk kaunseling, makanan percuma, dan layanan mesra daripada kakitangan hospital.
“Pesakit itu sihat dan dibenarkan keluar pada hari berikutnya. Pada keesokan harinya dia memaklumkan bahawa dia tidak dapat menjelaskan jumlah bil RM2,480. Dia kemudian dimaklumkan bahawa dia boleh menguruskan pengebumian dulu sebelum membayar bil.
“HBR diberitahu si ‘suami’ akan uruskan pengebumian. Jadi, HBR menunggu lelaki itu untuk mengambil bayi berkenaan untuk dikebumikan.
“Hari-hari berlalu, HBR terus mengingatkannya untuk meneruskan pengebumian tetapi dia terus berkata ‘suami’ sedang mengatur. Dia dilayan dengan baik bergaul dengan kakitangan wad, diberikan kaunseling dan makanan percuma,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, lelaki itu datang melawat pesakit selama beberapa minit sekali dalam dua hingga tiga hari.
“Cubaan untuk bercakap dengannya mengenai pengebumian gagal. Pengurusan HBR berbincang dengan pesakit untuk mendapatkan bantuan polis bagi membantu menyelesaikan pengebumian tetapi dia merayu tidak berbuat demikian. Dia terus memberitahu bahawa semua keputusan adalah daripada ‘suaminya’.
“Dia juga enggan memberikan maklumat mengenai ahli keluarga atau kenalan untuk membantu menyelesaikan isu pengebumian. Dia mendakwa tinggal di bilik sewa bersama ‘suami’. Dia tidak mempunyai saudara atau kawan yang berdekatan,” katanya.
HBR berkata, pihaknya kekal komited terhadap ketelusan dan pematuhan dalam semua prosedur.