Kuala Lumpur: Vokalis Wings meminta orang luar agar tidak mencampuri urusan kumpulannya yang kini disifatkan berada pada tahap sukses.

Ia berikutan kenyataan Mel juga bekas penyanyi Wings yang mahu melihat anggota asal Wings bersatu kembali sebelum dia menutup mata.
“Sila bertenang. Sebenarnya saya juga ingin bersama (JoBranko). Tapi kalau saya bersama, dua orang ini (Sham dan Edrie) saya nak campak mana? Kemahuan orang ini hanya empat orang saja (Awie, Eddie, Black dan JoBranko).
“Tak bagus lah. Sebenarnya kita pun nak, tetapi dalam masa tengah kita perjuangkan sesuatu ini, kita buatlah jalan dulu. Yang lain jangan sibuk sebab Joe (JoBranko) pun dah ‘move on’. Saya pun dah ‘move on’.
“Jadi kita tak ada apa-apa nak dikecohkan lagi. Mereka (Barbarik) dah ada band yang bagus. Barbarik sangat bagus, jalan terus tak ada masalah,” katanya ditemui pada sidang media Konsert TRIAD di sebuah kelab hiburan, di sini, semalam.
Awie, 56, meminta pihak berkaitan yang sudah terkeluar dari Wings supaya jangan menyibuk dan biarkan mereka menguruskan kumpulan itu sebaiknya.
“Memang kita nak. Dah makin peringkat umur ini kita dah tak nak kecoh-kecohlah.
“Saya pun tak pernah nak bising apa-apa. Saya diam saja semua, saya tak nak cakap apa pun, tidak. Tapi bila yang orang luar pula bercakap macam ini untuk apa? Tak usah keruhkan keadaan.
“Nanti benda ini nampak buruk pada saya juga. Saya tak nak orang asyik menuduh saya sahaja sebab saya tak pernah buka mulut pun apa soal peribadi, soal kejadian A hingga Z. Saya diam,” kata Awie yang meminta orang luar agar jangan membuka peluang bagi mengeruhkan lagi keadaan memandangkan mereka semua sudah berusia.
Secara peribadi dia tidak menuding jari kepada sesiapa dan membiarkan perkara ini mengikut keadaan yang ditetapkan.
Bagi Awie lagi, JoBranko sudah mempunyai landasan terbaik bersama Barbarik.
“Saya suka tengok band dia. Saya tengok persembahan mereka, bagus band ini, teruskan. Tak ada apa lagi dia (JoBranko) nak toleh belakang dah. Tak perlu lagi. Masing masing dah bahagia dengan jalan hidup sendiri.
“Saya tengok mereka dah okey dah sukses. Yang bagus teruskan dan saya sokong. Tak perlu nak fikir lagi dah apa yang lepas-lepas.
“Yang membuatkan fikiran orang berfikir ini adalah orang yang di kiri kanan yang bukan-bukan,” katanya.
Sementara itu, Konsert TRIAD akan menampilkan Awie sebagai penyanyi utama untuk tiga kumpulan rock ikonik: Wings, Search Kid Din, dan juga Dragon Malaya.
Konsert TRIAD dianjurkan Rumah Produksi Merah ini berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 14 Februari depan jam 8.30 malam.
Dragon Malaya kini dianggotai Lan Taro, Eddie Def Gab C, dan Pae. Ia ditubuhkan pada tahun 1998, Dragon Malaya adalah kumpulan pengiring untuk persembahan solo Awie, termasuk projek album solonya, Rentap, dengan lagu ikonik seperti Kuda Tiga Kaki dan Bumi Kita Ada Naga.