Kuantan: Empat lelaki termasuk tiga warga Indonesia berjaya diselamatkan selepas bot tunda dinaiki mereka hampir karam akibat dipukul ombak di 12 batu nautika tenggara Kuantan berhampiran Pantai Lagenda di Pekan, semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang Mazlan Mat Rejab berkata, Pusat Sub Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan menerima maklumat kejadian membabitkan bot tunda Muhibah AP 12 itu pada 7.40 malam.

Menurutnya, daripada maklumat awal diterima, empat kru berusia antara 19 hingga 51 tahun itu berada dalam keadaan selamat dan memakai jaket keselamatan.
“Sebaik menerima laporan itu, bot ronda Penggalang 19 diatur gerak ke lokasi itu tetapi bot tidak dapat ke lokasi akibat cuaca buruk.
“Namun, pada 12.30 tengah malam tadi, MRSC Kuantan dimaklumkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pekan bahawa semua mangsa berjaya diselamatkan.
“Mangsa diselamatkan melalui jalan pantai berikutan jarak lokasi bot tunda yang terkandas berhampiran dengan pesisir pantai.
“Semua mangsa berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, operasi carilamat ditamatkan pada 4 pagi hari ini, selepas mendapat pengesahan semua mangsa diselamatkan.