Datuk Aaron Aziz penat kene scam.

Datuk Aaron Aziz penat kene scam.

Penipuan berlaku di mana-mana dan tidak memilih mangsa. Bagi golongan selebriti, mereka juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa penipuan atau scam.

Pelakon, Datuk Aaron Aziz berkongsi turut berdepan nasib serupa ditipu oleh beberapa pihak sekaligus dijadikan pengajaran agar lebih berhati-hati.

Aaron, 49, memaklumkan beberapa siri penipuan yang berlaku kepadanya menyebabkan aktor asal Singapura ini turut terpalit kontroversi.

“Saya pernah kena scam, apabila orang menggunakan imej saya untuk jual produk seperti baju. Apabila saya hantar orang mencari kilang itu, pihak kilang mengaku. Tapi, bukan mereka yang scam sebab ada ejen yang tempah. Jadi, tangan atas tangan, susah untuk dicari.

“Ada satu lagi kes, kek lapis Sarawak yang gunakan nama saya. Peguam saya dah hantar surat kepada keluarga itu, tapi mereka balas, dah tua, janganlah saman. Tapi, tujuh tahun dia dah jual. Bukan saya sahaja, ada kek lapis membabitkan selebriti lain juga.

“Jadi, nak buat macam mana. Kalau kita ambil tindakan keras, orang cakap kita tak bagi orang berniaga pula. Tapi, peniaga itu pun dah berhenti berniaga.

“Satu lagi scam yang paling saya benci, apabila ada individu yang berjumpa dan dah berbincang kononnya nak buat projek berjuta-juta, tiba-tiba, dah habis mesyuarat, dia ambil gambar dan tak ada cerita.

“Mereka ini gunakan gambar yang mereka ambil bersama saya dan pergi berjumpa pelabur lain pula, kononnya dah dapat bekerjasama dengan saya. Jadi, pelabur pun percaya dan beri duit,” katanya.

Tambah Aaron, sehingga kini, masih lagi ada pihak menggunakan modus operandi itu untuk melakukan penipuan.

“Sampai sekarang pun masih ada lagi yang bercakap besar, tapi satu sen pun tak ada. Memang berlaku banyak kali dan tak terkira. Kadang, bukan filem sahaja, tetapi ada juga produk yang menggunakan imej saya tanpa pengetahuan.

“Yang merugikan adalah sebab kita dah kosongkan jadual dan nak berikan komitmen. Jadi, sekarang, saya dan isteri tetapkan untuk mereka bayar deposit RM20,000 sebelum berbincang,” katanya.

Selain modus operandi itu, Aaron turut berdepan dengan satu lagi taktik kotor yang digunakan oleh penipu atau scammer ini yang mana lebih licik.

“Sekarang juga, scammer menggunakan kontrak. Kalau kita dah tanda tangan kontrak itu dan kalau berlaku sesuatu yang tak kena, kita tak boleh saman balik sebab ada klausa-klausa tertentu.

“Niat dia memang nak tipu pun sebab dah tahu projek mereka akan gagal. Sebab itu tak boleh nak buat apa-apa. Jadi, pengajarannya, kalau ada yang nak tanda tangan kontrak, baca betul-betul dengan teliti.

“Ada yang datang berjumpa saya maklumkan mereka kena scam sebab nampak gambar saya dan mereka fikir, saya memang terbabit dalam projek yang mereka sertai. Tapi, saya tak boleh nak buat apa sebab bukan saya yang scam, tetapi saya pun dipergunakan,” katanya.

Bukan hanya Aaron, bahkan, pembantu rumahnya dari Indonesia juga turut terjebak menjadi mangsa penipuan.

“Pembantu rumah saya pun pernah kena scam sehingga wang simpanan dia berjumlah RM4,000 lesap. Dia selalu hubungi keluarga di Indonesia dan satu hari, dia ada menerima SMS kononnya memenangi panggilan percuma.

“Jadi, dia pergi tekan pautan yang dihantar dan masukkan beberapa butiran, kemudian duit dah kena ambil,” katanya.

Berkongsi mengenai karier lakonannya, Aaron meluahkan rasa syukur kerana masih menerima tawaran lakonan dan diberikan tanggungjawab untuk menggalas watak utama.

“Alhamdulillah. Ia taklah mengganggu fikiran saya. Tapi, kalau kita tengok di luar negara pun, ada naik turun. Dalam dunia seni ini pun, kita tak boleh elak usia dan kesihatan. Ada benda yang buatkan persembahan kita terhad.

“Tapi, Alhamdulillah, masih diberikan kepercayaan. Kadang watak pembantu pun, lebih menarik daripada watak utama. Pada saya, bukan menjadi satu masalah,” kata Aaron sebagai utama untuk drama bersiri berjudul Din Tiger, arahan pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki.

“Afdlin tawarkan saya untuk berlakon dalam drama ini dan saya terus berikan persetujuan. Judulnya pun dah cukup menarik. Tapi, bukan seperti yang saya jangkakan kerana watak itu secara scammer yang dah berubah, kemudian, empayar yang dia dah bina, dia juga yang jatuhkan.

“Watak ini sedikit berbeza dan saya ambil sebagai cabaran, untuk tunjukkan nak menang bukan melalui tangan, tetapi menggunakan akal fikiran. Watak Din Tiger ini bukan ‘fighter’, jadi, babak aksi tak boleh terlalu dibuat berlebihan,” katanya.

Drama itu turut dibintangi Mia Sara Shauki, Datin Seri Nina Juren, Josiah Hogan, Ako Mustapha, Tony Eusoff, Adam Corrie Lee dan ramai lagi.

Leave a Reply

Discover more from mediapanasonline.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading