Kuala Lumpur: “Saya anggap ini rezeki Tuhan nak beri, rasa amat bersyukur. Macam nak menangis kerana sudah lama tak merasa…sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), kali ini baru nak merasa (dapat pelanggan ramai).”
Begitu kata Idris Abdul Latiff, 75, yang mendapat perhatian warganet selepas videonya bersama kakaknya Roshi, 78, berniaga di sebuah gerai makanan tular di laman sosial.
Video itu dimuat naik seorang warganet yang mengajak orang ramai singgah ke gerai bagi membantu perniagaan warga emas berkenaan.
Berkongsi kisahnya, Idris berkata, dia sudah berniaga masakan panas seperti nasi goreng ayam cendawan dan minuman di medan selera itu sejak 30 tahun lalu bersama kakaknya yang juga tukang masak.

“Sebelum ini kurang sangat (pelangan datang) tapi sejak itu (tular), ramai yang datang.
“Ada yang makan, datang dua orang, harga makanan hanya RM20 lebih saja tapi dia bagi RM50 dan bakinya tak ambil.
“Syukur Alhamdulillah dengan rezeki Allah SWT beri ini,” katanya ketika ditemui di gerainya yang diberi nama Mutiara Binjai di Medan Selera Jalan Raja Muda Abdul Aziz, dekat sini, semalam.
Bercerita lanjut, Idris yang masih bujang berkata, dia berniaga setiap hari dengan keluar dari rumah di Taman Lembah Jaya, Ampang, Selangor seawal jam 4.45 pagi dengan menaiki teksi.
Menurutnya, sebelum ini gerainya dibuka dari jam 9.30 atau 10.30 pagi, tetapi kini dilewatkan sedikit kerana pelanggan terlalu ramai selain hanya dia dan kakaknya sahaja menguruskan segalanya.
“Kisah tular itu pun saya tak tahu sampai orang beritahu. Saya akan terus berniaga untuk mencari rezeki demi kelangsungan hidup selagi panjang umur dan kuat kecuali sakit dan uzur. Buat masa ini, Tuhan masih beri kekuatan.
“Seronok (cari rezeki) dan penat juga, tapi hilang penat bila tengok pelanggan datang.
“Setakat ini setiap hari saya datang (ke gerai) kecuali jika ada urusan di hospital untuk pemeriksaan kesihatan kerana ada sakit jantung sejak dua tahun lalu,” katanya.