Sahara tidak berniat merahsiakan perkahwinan.

Sahara tidak berniat merahsiakan perkahwinan.

Kuala Lumpur: Penyanyi sensasi era 1980-an, Sahara Yaacob, 68, yang menghilangkan diri selama lima tahun muncul kembali selepas perkahwinan keenam bersama jejaka dari Pahang tidak mampu diselamatkan pada Ogos tahun lalu.

Memilih mengasingkan diri selama berkahwin secara senyap, Sahara berkata, dia tidak bermaksud merahsiakan perkahwinan keenamnya, namun ia dilakukan atas permintaan bekas suami.

Sahara berkata, bekas suaminya enggan dikenali, apatah lagi, beliau adalah bekas pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam bergelar ustaz di Pekan, Pahang.

“Saya terpaksa melupakan dunia hiburan selepas berkahwin. Ini adalah permintaan bekas suami.

“Saya juga perlu menjauhkan diri daripada rakan industri. Kehidupan saya hanya suri rumah tangga sepenuh masa,” katanya.

Mendirikan rumah tangga beberapa bulan sebelum fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2019, Sahara berkata, dia reda jodoh kali keenam tidak mampu bertahan hingga penghujung usia.

“Sebelum fasa PKP, Allah hantar jodoh buat saya. Jadi, saya ikut bekas suami menetap di Pekan.

“Alhamdulillah, ada juga insan nak menjaga saya ketika fasa PKP. Kalau tidak, mungkin saya terpaksa angkat ‘bendera putih’ jika tinggal seorang diri di Kuala Lumpur pada pandemik Covid-19.


“Namun, jodoh kali ini juga menemui kegagalan. Perkahwinan hanya bertahan selama hampir lima tahun. Saya dan bekas suami bercerai secara baik dan atas dasar persefahaman, tahun lalu.

“Hingga kini, kami masih berkawan dan bertanya khabar. Hubungan saya bersama bekas suami dan anak-anaknya juga masih baik, cuma jodoh kami tidak panjang,” katanya.

Sahara atau nama sebenarnya, Zaharah Mohd Yaacob berkata, dia minta dilepaskan atas faktor kesihatan dan tidak mampu menjalankan tanggungjawab sebagai isteri.

“Saya kurang sihat, buat kerja rumah pun tiada kudrat. Ada masanya saya pitam selepas buat kerja rumah. Dalam usia emas, saya juga tak mampu menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dengan baik.

“Jadi, saya fikir perpisahan adalah jalan terbaik. Saya minta dilepaskan secara baik. Namun, saya berterima kasih kepada bekas suami dan dua anak tiri yang menerima saya ketika saat sukar.

“Saya tidak meninggalkan bekas suami ketika berdepan penyakit lumpuh, dua tahun lalu. Saya tunggu bekas suami pulih sepenuhnya, kemudiannya barulah kami berpisah,” katanya.

Penyanyi jolokan Tina Turner Malaysia itu berkata, cara hidupnya dengan bekas suami juga berbeza.

“Jiwa saya sebagai penyanyi, manakala bekas suami adalah orang kuat agama. Cara hidup kami jauh berbeza, tetapi saya okay sahaja.

“Apapun, sudah ditakdirkan jodoh kami tidak panjang. Saya akui lebih selesa hidup sendirian dalam penghujung usia ini,” katanya yang terkenal dengan imej liar dan rambut bagai terkena kejutan elektrik pada zaman kegemilangannya.

Menceritakan detik pertemuan dengan bekas suami, penyanyi lagu Sahara Blues itu berkata, dia berkenalan di laman Facebook (FB).

“Kami berkenalan dalam FB. Agak lama juga kami berkawan kira-kira selama empat tahun.

“Bekas suami duda anak dua sejak kematian isteri kira-kira lapan tahun sebelum berkahwin dengan saya. Kami sama-sama kesunyian, jadi kami suka berbual dalam FB.

“Namun, Allah gerakkan hatinya melamar saya beberapa bulan sebelum fasa PKP.

“Jujurnya, kami tidaklah bercinta seperti orang muda, tapi kami saling memerlukan sebagai peneman hidup.

“Namun, apakan daya, kesihatan tidak mengizinkan. Saya tak pernah kesal kerana bagi saya, hidup ibarat pengembaraan. Suatu masa kita akan kembali ke sisi-Nya,” katanya yang kini kembali mendiami kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam dekat Sungai Besi.

Leave a Reply

Discover more from mediapanasonline.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading