GEMAS 13 April – Bapa kepada Allahyarham Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24, yang meninggal dunia selepas insiden kekerasan di kem tentera, menuntut keadilan ditegakkan terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Rosafindi Tambi Chik, 49, berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan, namun mengakui masih belum bersedia untuk memaafkan individu terlibat.
“Jika perkara itu betul, biarlah dia (suspek) tanggung dan kalau tak betul, kami reda dengan pemergian anak.
“Tapi dalam soal memaafkan, ketika ini saya rasa berat lagi, tambahan pula kes masih tergantung (dalam siasatan), namun saya serah kepada pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian di Pusara Damai FELDA Sungai Kelamah, awal pagi tadi.
Mengulas perkembangan kes, beliau memaklumkan dimaklumkan bahawa seorang Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) yang didakwa terbabit telah ditahan dan ditempatkan di Penjara Bentong bagi membantu siasatan lanjut.
Sementara itu, rakan karib arwah, Muhammad Afham Hafidz Adzhar, 24, menyifatkan mangsa sebagai seorang yang peramah, ceria dan disenangi ramai.
“Saya terkilan tidak sempat melawat arwah di hospital. Kali terakhir kami berhubung pada Ramadan lalu dan ketika itu arwah memaklumkan kurang sihat seperti demam.
“Saya terkilan dengan kejadian yang menimpa arwah, saya berharap pelaku itu menerima hukuman setimpal,” katanya.
Seorang lagi rakan, Ahmad Naqib Omar, 24, turut meluahkan rasa sedih atas pemergian sahabatnya yang disifatkan aktif dan mudah didekati.
“Arwah sangat baik, seorang yang ceria dan aktif dalam pelbagai aktiviti di kolej. Saya tak sangka kesudahannya jadi begini.
“Saya berharap arwah mendapat mendapat keadilan,” katanya.


Leave a Reply