Dadah ketamin 6.8 kilogram cuba diseludup lelaki warga China gagal

SEPANG 11 Nov – Percubaan seorang lelaki warga China menyeludup masuk dadah menggunakan ruang rahsia dalam dua bagasi gagal apabila taktiknya dikesan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA, Zulkifli Muhammad berkata, suspek berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan pada 28 Oktober lalu hasil pemeriksaan rapi Bahagian Penguatkuasaan JKDM bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Balai Ketibaan Terminal 2.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui beberapa bungkusan kecil plastik lutsinar berisi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin. Bungkusan itu dibalut aluminium foil, ditutup papan dan disorokkan di bahagian dalam pelapik kain dua bagasinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, rampasan ketamin berjumlah 6,884 gram itu dianggarkan bernilai RM344,000.

Suspek dipercayai cuba menyeludup dadah menggunakan modus operandi mewujudkan ruang simpanan rahsia dalam bagasi bagi mengaburi pihak berkuasa. Ketamin turut disenaraikan di bawah Jadual Pertama, Bahagian III, Akta Dadah Berbahaya 1952.

Zulkifli berkata, suspek telah dituduh di mahkamah dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B(1)(a) akta sama.

Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan kepada JKDM kerana kegiatan itu bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah mengancam keselamatan rakyat.

Maklumat boleh disalurkan menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana Pejabat Kastam berhampiran, dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

Leave a Reply

>
Media Panas

Discover more from MEDIA PANAS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading