KUALA LUMPUR 17 April – Kerajaan digesa menyediakan pakaian menutup aurat yang sempurna kepada tahanan wanita Islam bagi memastikan kehormatan diri mereka terpelihara selari dengan tuntutan syarak.
Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Salleh berkata, tindakan segera itu penting bagi mengelakkan insiden melibatkan seorang ustazah yang hadir ke mahkamah dengan pakaian tidak menepati tuntutan syarak daripada berulang.
Menurutnya, pihak berwajib juga perlu membekalkan keperluan asas seperti kain basahan, menggubal garis panduan berteraskan syariah serta meningkatkan latihan pegawai dengan kefahaman Islam dan sensitiviti jantina.
“Islam mewajibkan pemeliharaan maruah dan aurat wanita dalam semua keadaan, termasuk ketika dalam lokap.
“Justeru, adalah tidak wajar mana-mana wanita Muslimah dibiarkan dalam keadaan yang menjejaskan kehormatan diri akibat kelemahan sistem dan pengurusan.
“Antara isu utama yang dibangkitkan ialah penyediaan pakaian yang tidak patuh syariah serta kurangnya sensitiviti terhadap penjagaan maruah wanita,” katanya menerusi kenyataan semalam.
Sebelum ini, seorang guru wanita berusia 57 tahun yang dipercayai tertekan pedal minyak kenderaan dipandunya sebelum merempuh pelajar Tingkatan Satu sehingga maut di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Mas pada Ahad bakal berdepan hukuman denda dan penjara sekiranya disabitkan kesalahan.
Di sebalik tragedi itu, turut menjadi perhatian apabila pakaian dikenakan guru bergelar ustazah berkenaan ketika hadir ke mahkamah didakwa menampakkan aurat dan tidak sesuai.
Mengulas lanjut, Nuridah berkata, isu berkenaan bukan perkara kecil sebaliknya menyentuh soal maruah dan kehormatan wanita Islam.
“Tindakan segera mesti diambil agar perkara ini tidak terus berulang. Hak dan maruah wanita wajib dipelihara selaras dengan tuntutan Islam,” katanya.


Leave a Reply