Berakas, 29 June 2025, Brunei – Kehadiran penyanyi legenda tanah air, Dato’ Khadijah Ibrahim, di Brunei baru-baru ini disambut penuh mesra dan emosi oleh para peminat setianya yang telah lama merindui kehadiran figura seni tersohor itu. Dalam satu sesi ramah mesra yang berlangsung di Consumer Fair ICC Berakas, Dato’ Khadijah meluangkan masa beramah mesra, bergambar dan berkongsi cerita bersama peminat-peminat yang datang dari pelbagai pelosok negara.

Suasana penuh nostalgia dan keakraban jelas terpancar apabila para peminat menyanyikan lagu-lagu popular beliau seperti Doa Buat Kekasih dan Ku Gembira Di Sampingmu. Kehadiran beliau bukan sahaja mengubat rindu, malah menyemarakkan semula kenangan manis era kegemilangan muzik 80an dan 90an. Peminat di Brunei turut meluahkan rasa bangga dan terharu kerana dapat bertemu secara langsung dengan penyanyi yang telah menghiburkan mereka selama lebih empat dekad.

Dalam kunjungan ini juga, Dato’ Khadijah turut mengambil kesempatan melancarkan produk terbaharunya, Sos Ibu, iaitu sos cili yang diinspirasikan daripada resipi turun-temurun.
Majlis pelancaran Sos Ibu telah menarik perhatian ramai pengunjung dan peminat yang hadir untuk menyaksikan sendiri kemunculan ikon seni legenda ini. Kehadiran Dato’ Khadijah disambut dengan penuh mesra dan penuh rasa bangga oleh peminat-peminat di Brunei, yang rata-rata mengakui teruja dapat bertemu idola mereka secara dekat.
“Saya sangat terharu dengan sambutan yang diberikan oleh rakyat Brunei. Ini adalah satu kenangan manis buat saya, lebih-lebih lagi apabila dapat memperkenalkan produk hasil air tangan saya sendiri di sini,” ujar Dato’ Khadijah dalam sesi temubual bersama media selepas pelancaran.
Sos Ibu, yang merupakan sos cili premium berasaskan resipi tradisional, dihasilkan dengan mengekalkan rasa asli yang sesuai untuk pelbagai hidangan tempatan dan moden. Ia kini bersedia untuk memasuki pasaran Brunei secara rasmi dan akan mula berada di beberapa pasar raya besar (hypermarket) dalam masa terdekat bersama rakan kerjasama di Brunei Sahabat Berjaya Trading.

Pelancaran ini juga merupakan sebahagian daripada usaha Dato’ Khadijah dalam memperkenalkan jenama produk tempatan ke peringkat antarabangsa, sekaligus memberi inspirasi kepada ramai usahawan seni untuk melangkah lebih jauh dalam bidang perniagaan.
Produk Sos Ibu dijangka menerima sambutan yang positif berdasarkan maklum balas awal daripada pengguna di Brunei, dan pihak pengurusan sedang merancang untuk memperluas rangkaian pengedaran ke negara-negara jiran lain tidak lama lagi.
Untuk maklumat lanjut mengenai Sos Ibu, peminat boleh mengikuti perkembangan terkini melalui laman media sosial rasmi Dato’ Khadijah Ibrahim di www.ibufood.com


Leave a Reply