DBKL bantu ringan kos sara hidup, 10,000 peniaga dapat diskaun sewa 50 peratus hingga 2027

PUTRAJAYA 13 April – Seramai 10,000 peniaga di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima pengurangan kadar sewaan tapak sebanyak 50 peratus selama dua tahun bagi membantu meringankan kos sara hidup.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, inisiatif itu antara langkah awal oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Perbadanan Labuan dalam membantu peniaga berdepan tekanan kos, khususnya susulan kenaikan harga minyak.

“Kami ada senarai panjang untuk (penerima di bawah) DBKL, iaitu 10,000 di semua tapak, termasuk medan selera dan pasar,” katanya selepas merasmikan Program Putrajaya Aktif, di sini hari ini.

Pengurangan kadar sewaan melibatkan tapak penjaja dan premis tertentu itu berkuat kuasa bermula 1 April hingga 31 Disember 2027.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Perbadanan Putrajaya kini sedang meneliti pendekatan terbaik sebelum melaksanakan langkah sama, termasuk mempertimbangkan bentuk bantuan tambahan selain diskaun sewa.

Bagaimanapun, kerajaan ketika ini memberi keutamaan kepada pengurangan kadar sewaan berbanding subsidi lain, mengambil kira kekangan kewangan serta keperluan menjana hasil alternatif.

“Apabila kami kurangkan sewa, kami perlu cari sumber hasil lain kerana kami juga berdepan peningkatan kos operasi termasuk kenaikan harga minyak,” katanya.

Mengulas lanjut, Hannah berkata kerajaan turut melancarkan program sukan percuma melibatkan aktiviti sepak takraw dan lompat tali di Putrajaya sebagai usaha menangani masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak.

Menurutnya, program itu dilaksanakan dua kali sebulan dengan penyertaan 50 peserta setiap sesi di empat lokasi sekitar Putrajaya sepanjang tahun.

Inisiatif berkenaan dijalankan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia dengan fokus kepada penyediaan aktiviti fizikal, manakala aspek pemakanan dan kesihatan dipantau kementerian tersebut.

Selain itu, kerajaan juga merancang mendapatkan data kanak-kanak obes melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memperluas capaian program kepada kumpulan sasar sebelum diperluaskan ke kawasan lain termasuk Kuala Lumpur.

Leave a Reply

>
Media Panas

Discover more from MEDIA PANAS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading