Fesyen Sebagai Simbol Patriotisme Malaysia: Gaya Kita, Jiwa Kita

Bila sebut tentang fesyen, ramai orang terus terbayangkan gaya hidup mewah, trend semasa atau pertunjukan fesyen yang glamor. Tapi pernahkah kita fikir bahawa fesyen juga boleh menjadi simbol cinta kepada negara? Di Malaysia, elemen patriotisme dalam fesyen semakin mendapat perhatian bukan sahaja semasa musim sambutan Hari Kebangsaan, malah sepanjang tahun.

  • Penampilan Allahyarham Datuk sudirman Hj. Arshad ketika membuat persembahan ikonik dengan memakai pakaian Jalur Gemilang sepanjang 120 meter pada Majlis Penutupan Sukan SEA 1989 .Jubah ikonik ini direka oleh Den Wahab pada ketika itu dgn menggunakan dananya sendiri. Sumber gambar dari Facebook

 

  • Konsert Live Siti Nurhaliza 1999 berbusana tradisional bertemakan jalur gemilang Ketika menyampaikan lagu Cindai - Sumber dari Youtube
  • Konsert Live Siti Nurhaliza 1999 berbusana tradisional bertemakan jalur gemilang Ketika menyampaikan lagu Cindai – Sumber dari Youtube

 

  • Hasil Rekaan dari Rizman Ruzaini Menswear Collection di KL Fashion Week RTW 2016.

Fesyen yang diinspirasikan oleh semangat nasionalisme ini bukan sekadar cantik di mata, tetapi ia juga membawa mesej mendalam tentang jati diri, budaya, sejarah dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia. Dari baju kurung mewakili pakaian tradisional hinggalah rekaan kontemporari dengan elemen seni dan warisan tempatan, kita kini menyaksikan satu evolusi unik fesyen sebagai ekspresi cinta kepada tanah air.
Warna Jalur Gemilang: Menyatukan Gaya dan Identiti
Warna merah, putih, biru dan kuning bukan sahaja milik bendera. Ia sudah menjadi sebahagian daripada identiti rakyat Malaysia. Warna-warna ini mewakili prinsip penting negara antaranya keberanian, kesucian, perpaduan dan kedaulatan. Maka, tidak hairanlah ramai yang memilih untuk memakai pakaian dengan warna bendera sebagai satu bentuk inspirasi, penghormatan dan simbol cinta kepada negara.
Misalnya, dalam pelbagai majlis rasmi atau acara sekolah, kita dapat lihat baju Melayu, baju kurung, kemeja atau selendang yang diolah dengan warna bendera Malaysia. Pemakaian ini bukan sekadar untuk ikut tema malah membawa rasa bangga dan perasaan kekitaan.

  • Konsert Salam Terakhir Siti Nurhaliza Untukmu Sudir 2002 – Sumber dari Youtube

Menurut kajian psikologi warna, warna merah meningkatkan semangat dan tenaga, warna biru melambangkan kepercayaan dan kestabilan, manakala kuning membawa maksud optimisme dan kegembiraan. Ini menunjukkan bahawa warna bendera kita secara tidak langsung mencerminkan aspirasi rakyat Malaysia sendiri.
Ikon Fesyen Patriotik: Dari Sudirman ke Siti Nurhaliza
Tidak lengkap berbicara tentang fesyen patriotik tanpa menyebut Sudirman Haji Arshad, lagenda hiburan negara. Ketika majlis penutupan Sukan SEA 1989, beliau membuat kejutan dengan mengenakan baju Jalur Gemilang sepanjang 120 meter sambil menyampaikan lagu patriotik. Aksi ini bukan sekadar persembahan biasa tetapi mencipta sejarah dalam dunia seni tempatan dan menjadi simbol keberanian serta cinta beliau kepada tanah air.

  • Antara Rakyat Malaysia berpakaian tradisional dalam program Kerati Sarong – sumber dari facebook

Begitu juga dengan Dato’ Siti Nurhaliza, yang turut mencipta impak apabila tampil mengenakan busana bertemakan Jalur Gemilang dalam konsert sulungnya pada 1999. Dengan gaya gabungan tradisional dan moden, persembahan beliau bukan sahaja memukau, tetapi juga menyentuh jiwa penonton yang menyaksikannya.
Kedua-dua ikon ini membuktikan bahawa fesyen dan seni boleh bergabung untuk menyatukan rakyat, menyemarakkan rasa bangga terhadap negara melalui kreativiti.

Fesyen di Pentas Dunia: Warisan Malaysia Diperagakan
Fesyen patriotik Malaysia kini bukan lagi sekadar acara tempatan. Ia telah melangkah ke pentas antarabangsa. Contohnya, pada Sukan Olimpik Paris 2024, kontinjen Malaysia tampil bergaya dengan busana bertemakan ‘The Malaya’ yang direka khas oleh duo pereka tersohor, Rizman Ruzaini.
Rekaan mereka menampilkan elemen tradisional seperti baju kurung cetakan motif songket dengan kelubung untuk atlet wanita dan baju Melayu Teluk Belanga untuk atlet lelaki. Warna hijau zaitun dan keemasan yang digunakan melambangkan kekuatan, kehormatan dan keberanian inspirasi ini satu penghormatan kepada pahlawan negara seperti Tok Janggut dan Datuk Maharaja Lela serta keprihatinan terhadap nilai warisan diraja Malaysia.

  • Perbarisan sempena menyambut hari kemerdekaan pada setiap 31 Ogos -Sumber dari penulis

Sebelum ini, Rizman Ruzaini turut mencipta koleksi bertemakan kemerdekaan dalam KL Fashion Week 2016, menampilkan elemen camouflage, cetakan “1957” dan palet warna yang menggambarkan sejarah negara.
Ini membuktikan bahawa fesyen bukan sahaja untuk diperagakan ia juga boleh jadi ruang naratif sejarah dan perjuangan.
Sekolah dan Komuniti: Fesyen yang Mendidik dan Mengeratkan
Fesyen patriotik juga berkembang kukuh di peringkat akar umbi. Setiap kali sambutan Hari Kemerdekaan, sekolah-sekolah di seluruh negara akan menganjurkan pertandingan pakaian patriotik yang menyaksikan pelajar tampil dengan pelbagai kostum kreatif dari busana tradisional bercorak Jalur Gemilang, hingga pakaian gabungan budaya kaum utama Malaysia.
Aktiviti ini bukan sekadar acara suka-suka. Ia merupakan satu bentuk pendidikan tidak langsung yang mendekatkan pelajar dengan nilai perpaduan dan sejarah negara melalui pendekatan pembelajaran di luar waktu kuliah secara tidak langsung.
Jenama barang kemas seperti Habib Jewels juga tampil dengan koleksi khas bertemakan emas, bunga kebangsaan dan corak Jalur Gemilang. Ini membuktikan bahawa patriotisme boleh diekspresikan dalam pelbagai bentuk termasuk dalam aksesori harian dan mewah.

 

Pakaian Beragam: Kreativiti Patriotik dalam Perbarisan dan Pertandingan
Salah satu tarikan paling dinanti setiap kali tiba bulan Ogos ialah pertandingan pakaian beragam sempena Hari Kebangsaan. Sama ada di sekolah, komuniti, atau peringkat negeri dan kebangsaan, pakaian beragam menjadi pentas utama untuk menonjolkan kreativiti dan semangat cinta negara melalui busana yang unik dan bermakna.
Pakaian beragam ini bukan sekadar cantik di mata ia menjadi satu bentuk naratif visual tentang sejarah, budaya, dan identiti Malaysia. Antara konsep yang sering digunakan termasuk: Pakaian berinspirasikan Jalur Gemilang, pahlawan negara, busana perpaduan kaum, motif warisan dan pakaian simbol kejayaan negara.
Yang menarik, rekaan pakaian ini dinantikan setiap pagi 31 Ogos kali menyambut hari kebangsaan.Jika dahulu merakamkan sejarah Jalan Tunku Abdul Rahman yang kini berubah tempat di Putrajay. Bagi mereka, pertandingan ini bukan sekadar untuk pertunjukan perarakan tapi sebagai peluang menyemai cinta negara, semangat perpaduan dan melakar sejarah dengan cara mendidik cintakan negara rakyat bersatu berhimpun untuk melihat hari perbarisan kebangsaan.

Fesyen Sebagai Suara Cinta Negara
Dalam dunia penuh cabaran hari ini, semangat patriotik dalam kalangan anak muda kadangkala dipersoalkan. Namun, hakikatnya, ramai anak muda masih peka dan cintakan negara cuma ekspresinya berbeza. Salah satunya ialah melalui fesyen dan budaya berpakaian.
Trend terkini menyaksikan banyak inisiatif untuk mengangkat kembali warisan bangsa, antaranya: Keretapi Sarung, Program #SayaAnakMalaysia #MerdekaOOTD.

Satu elemen yang semakin mendapat perhatian ialah pemakaian tengkolok atau destar. Jika dulu hanya dipakai dalam majlis adat atau perkahwinan, kini ia kembali ke arus fesyen arus perdana malah dipakai oleh generasi muda dalam konteks kasual, formal, malah pentas antarabangsa.
Contohnya: Monoloque pernah tampil beridentitikan tengkolok dalam setiap persembahan. Filem seperti Mat Kilau pula menghidupkan kembali fesyen pahlawan Melayu menjadikan satu fenomena kepada semangat generasi kini dalam mengayakan tradisional kontemporari dalam penampilan.

Fesyen Bukan Sekadar Trend, Ia Lambang Perjuangan
Fesyen boleh berubah mengikut musim, tetapi semangat patriotik yang lahir dari rasa cinta dan bangga pada negara, tak akan pernah lapuk. Dalam dunia serba moden ini, kita perlukan lebih banyak ekspresi positif dan salah satu cara yang paling kuat ialah melalui apa yang kita pakai.
Jadi, sama ada anda memakai tanjak moden di hari biasa, mengenakan batik Malaysia ke pejabat, atau bergaya dalam pakaian beragam berinspirasikan Malaysia ketahuilah, anda sedang menghidupkan warisan Malaysia dalam gaya yang anda cipta sendiri.
Pakaian mungkin berbeza, tetapi semangat kita tetap sama : cinta kepada tanah air tercinta.

Disediakan oleh
Muhammad Khalik Mustafa
Fakulti Seni Lukis Dan Seni Reka
UiTM Teknologi Mara Cawangan Perak.

 

Leave a Reply

>
Media Panas

Discover more from MEDIA PANAS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading