Dalam dunia yang sering mengagungkan bentuk tubuh tertentu, wanita berbadan besar seringkali terpinggir daripada naratif fesyen arus perdana. Ramai merasakan mereka perlu ‘menyorokkan’ tubuh atau mengelak dari bergaya kerana risau dinilai masyarakat. Namun kini, semakin ramai yang bangkit memecahkan stereotaip dan membuktikan bahawa fesyen itu milik semua, tanpa mengira saiz.
Fesyen bukan semata-mata tentang ikut trend. Ia adalah tentang ekspresi diri, tentang berani mencerminkan personaliti melalui gaya, dan yang paling penting tentang mencintai tubuh sendiri, dalam apa jua bentuk dan saiz.
Berani Mencintai Diri Sendiri
Langkah pertama untuk tampil bergaya bukanlah membeli pakaian mahal atau mengikut gaya selebriti, tetapi menerima dan menyayangi tubuh sendiri. Keyakinan adalah aksesori paling penting dalam mana-mana gaya. Apabila seseorang yakin, apa jua pakaian yang digayakan akan tampak menawan. Wanita berbadan besar tidak perlu menyembunyikan bentuk tubuh mereka. Sebaliknya, mereka boleh belajar mengenali potongan dan rekaan yang memperindah siluet tubuh, serta memilih fabrik dan warna yang menonjolkan sisi terbaik mereka.
Tip Gaya untuk Wanita Plus Size
- Kenali Potongan dan Bentuk Tubuh
Setiap wanita berbeza, walaupun dalam kategori ‘plus size’. Ada yang berbentuk ‘pear’, ‘apple’, atau ‘hourglass’. Mengenali bentuk tubuh membantu memilih potongan pakaian yang sesuai – contohnya:
- Pear-shaped: Pinggul lebih besar daripada bahu – pilih baju dengan bahu terstruktur dan skirt A-line.
- Apple-shaped: Bahagian tengah lebih besar – pilih baju flowy dengan potongan V-neck dan elakkan fabrik terlalu melekap.
- Hourglass: Pinggul dan bahu seimbang dengan pinggang kecil – tonjolkan pinggang dengan tali pinggang atau baju berpotongan wrap.

Potongan A-line, wrap dress, atau potongan berpinggang tinggi (empire waist) boleh memberi ilusi tubuh yang seimbang. Jangan takut mencuba rekaan moden seperti kemeja besar, jaket panjang, atau skirt berkain lembut.
- Bermain dengan Warna dan Corak
Siapa kata wanita berbadan besar hanya sesuai dengan warna gelap? Warna ceria seperti merah jambu, biru diraja atau mustard boleh menyerlahkan aura positif. Corak bunga kecil atau garisan menegak boleh memberi ilusi tubuh yang lebih panjang dan seimbang. Mitos mengatakan warna gelap ‘menguruskan’ badan, tetapi jangan terikat pada hitam semata. Warna cerah dan corak berani boleh memberi impak positif jika dipadankan dengan bijak. Corak menegak, motif sederhana, dan padanan warna kontras boleh memberi ilusi visual yang menarik.
- Pilih Fabrik yang Selesa dan Terletak Cantik
Elakkan fabrik yang terlalu melekap atau terlalu keras. Material seperti kain kapas, viscose, atau jersey berkualiti tinggi selalunya memberi alunan yang cantik pada tubuh. - Gunakan Aksesori sebagai Penambah Gaya
Tali pinggang boleh menonjolkan bentuk pinggang, manakala rantai panjang atau tudung bercorak boleh menjadi titik fokus yang menarik perhatian ke wajah. - Pakaian Dalam yang Menyokong
Shapewear bukan untuk ‘menyorokkan lemak’, tetapi untuk menyokong dan memperkemas gaya. Pilih pakaian dalam yang selesa dan memberi struktur yang baik, terutamanya untuk acara formal.

Ikon Gaya yang Menjadi Inspirasi
Dunia kini menyaksikan kemunculan ramai ikon fesyen plus size yang berani, anggun dan berpengaruh. Antaranya ialah Ashley Graham, model antarabangsa yang kerap tampil di pentas fesyen utama dan menjadi wajah kepada jenama besar. Di Malaysia pula, semakin ramai pempengaruh dan pereka tempatan mengetengahkan fesyen bersaiz besar seperti koleksi inklusif oleh jenama tempatan dan kemunculan model plus size dalam kempen iklan. Ini bukti bahawa tubuh berisi bukan halangan untuk bergaya malah menjadi keunikan yang boleh diketengahkan.

Di Malaysia, semakin banyak jenama tempatan mula menyedari keperluan wanita berbadan besar dan tampil dengan koleksi inklusif yang menawan. Antara jenama yang menonjol termasuk Cala Qisya, yang terkenal dengan rekaan longgar, feminin dan sopan sehingga saiz 3XL, sangat sesuai untuk wanita Muslimah yang mementingkan keselesaan dan gaya ringkas. Mimpikita pula menawarkan sentuhan moden dan elegan, dengan potongan yang memuji bentuk badan serta pilihan sehingga saiz XXL, menjadikannya pilihan eksklusif bagi wanita yang gemar kelihatan sofistikated. Di platform dalam talian seperti Zalora, jenama Lubna menampilkan koleksi kasual dan tradisional kontemporari dengan saiz sehingga 4XL, termasuk baju kurung moden dan blouse mesra bentuk badan. Sementara itu, Rina Salleh Clothing (RSC) dan Qismina masing-masing menyajikan pilihan gaya Muslimah moden dengan rekaan yang selesa, potongan yang tidak ketat, dan fabrik berkualiti – membuktikan bahawa wanita plus size juga berhak bergaya anggun dalam fesyen yang menepati citarasa dan identiti mereka.

Fesyen Itu Untuk Semua
Fesyen bukan untuk menghukum atau mengehadkan, tetapi untuk membebaskan dan membina keyakinan. Dunia fesyen masa kini perlahan-lahan berubah lebih inklusif, lebih pelbagai, dan lebih menerima. Tetapi perubahan sebenar bermula dalam diri setiap individu dengan keberanian untuk menyatakan, “Saya cantik dengan cara saya sendiri.” Tidak kira apa saiz anda, bergaya bukan sesuatu yang mustahil. Dengan sedikit kreativiti, keberanian dan penerimaan diri, sesiapa pun boleh tampil mempesona. Ingatlah keyakinan adalah gaya paling menarik yang boleh anda miliki.
Disediakan Oleh
Khalik Mustafa – Pensyarah Kanan
Fakulti Seni Lukis Dan Seni Reka
(Seni Reka Teknologi Fesyen)
UiTM Cawangan Perak


Leave a Reply