Finale KRU janjikan pentas paling epik

Selepas kejayaan luar biasa empat malam Konsert GenKRU di Axiata Arena, Bukit Jalil dan satu malam di Singapura beberapa bulan lalu, kumpulan legenda KRU sekali lagi bakal menggegarkan pentas dengan Konsert GenKRU The Finale: One More Time.

Kali ini, konsert itu yang akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 22 November depan bakal menjadi pentas perpisahan paling epik untuk meraikan lebih tiga dekad perjalanan muzik KRU

Menurut Datuk Norman Abdul Halim, konsert kali ini melalui proses penstrukturan semula menyeluruh bagi memastikan peminat mendapat pengalaman yang segar dan tidak dapat dijangka.

“Tempoh masa kami agak singkat untuk menukar keseluruhan persembahan, tetapi kami masih ada beberapa bulan untuk bayangkan semula keseluruhan konsert.

“Insya-Allah, kami akan tingkatkan mutu persembahan dan mempersembah sesuatu lebih berkualiti kepada penonton,” katanya.

Katanya, banyak lagu tidak sempat dipersembahkan pada konsert lalu akan dimasukkan sebagai kejutan untuk peminat.

“Banyak lagu kami yang tidak sempat dinyanyikan sebelum ini. Jadi, kali ini kami akan cuba selitkan lebih banyak pilihan untuk memberikan pengalaman baharu kepada penonton,” katanya.

Tarikh 22 November 2025 pula dipilih bukan secara kebetulan, tetapi hasil perancangan rapi mengikut ketersediaan lokasi.

“Kadang-kadang susah nak dapat tarikh sesuai, apatah lagi nak jangka keadaan cuaca. Tapi saya rasa tarikh 20-11 (22 November) itu sendiri menarik, senang diingati dan cantik pula kombinasinya,” katanya.

Edry Abdul Halim pula menjelaskan struktur persembahan dan susunan lagu trio tiga beradik itu akan dirombak bagi memberi nafas baharu kepada konsert.

“Ada beberapa lagu akan diganti. Durasi konsert masih lebih kurang dua jam setengah, tapi kami mahu segarkan persembahan dengan menukar susunan lagu,” katanya.

Pada masa sama, Edry mengakui pengalaman menganjurkan GenKRU sebelum ini banyak mengajar mereka mengenai respons penonton dan strategi persembahan.

“Seperti bermain bola sepak, bila kita tahu gaya permainan lawan, kita boleh sesuaikan strategi. Kami tahu lagu mana yang beri respons baik, dan lagu mana kurang dikenali dan boleh diganti.

“Katalog lagu kami luas, merangkumi pelbagai era. Jadi, kenapa tidak kita terokai dan beri kejutan supaya persembahan tidak dapat dijangka?” katanya.

Edry turut menyedari cabaran era media sosial yang pantas mendedahkan persembahan dan apa yang berlaku ketika konsert berlangsung.

“Sekarang zaman media sosial, banyak babak dalam persembahan cepat tersebar. Seperti pelawak, kita tak boleh ulang jenaka sama dua kali. Sebagai penyanyi, persembahan perlu sentiasa kreatif,” katanya.

Datuk Yusry Abdul Halim pula mengakui KRU kini berdepan cabaran unik di mana mereka perlu sentiasa berevolusi agar tidak menjadi ‘teka-teki’ mudah untuk peminat yang sudah mengenali formula persembahan mereka.

“Sekarang pun KRU tidak boleh buat konsert seperti KRU yang dahulu. Kalau kami ulang formula sama, orang boleh jangka jalan ceritanya.

“Itu tidak menarik. Jadi kali ini walaupun pemainnya sama, strategi dan ‘gameplay’ kami berbeza. Itulah yang kami mahu bawa,” katanya.

Yusry mengimbau detik selepas konsert terakhir mereka di Istana Budaya suatu ketika dahulu, apabila mereka hampir merasakan perjalanan itu sampai ke noktah.

“Suatu ketika dahulu, selepas konsert terakhir di Istana Budaya, kami rasa seolah-olah tiada lagi (konsert) yang boleh ditawarkan. Jadi, kami ambil keputusan berehat seketika.

“Seperti saya sebut, banyak perkara dalam perjalanan seni ini bukan kami rancang, tetapi ia berlaku dengan izin Allah.

“Tahun ini, saya boleh katakan, memang ‘gila’. Begitu banyak perkara berlaku serentak,” katanya.

2025 ISTIMEWA BUAT KRU

Bagi Norman, tahun ini benar-benar menjadi antara detik paling istimewa dalam sejarah perjalanan muzik KRU.

“Jujurnya, kami tak sangka lagu Remaja Selamanya boleh catat kedudukan nombor satu di radio.

“Kebanyakan pengundi dari generasi muda, Gen Z. Itu buktikan muzik kami masih relevan dan diterima generasi baharu.

“Tahun ini benar-benar istimewa bukan sahaja kerana konsert dan album, tetapi penerimaan lagu serta kemenangan anugerah. Ia hasil kerja keras seluruh pasukan,” katanya.

Edry pula menambah semua kejayaan ini bukan tuah semata-mata, tetapi hasil usaha gigih selama bertahun-tahun.

“Kami tidak anggap semua kejayaan ini tuah semata-mata. Ia hasil kerja keras. Sokongan peminat penting, tetapi kami tidak boleh berpeluk tubuh dan mengambil mudah,” katanya.

Walaupun menghampiri usia 34 tahun dalam industri muzik, KRU buktikan mereka bukan sekadar nostalgia, bahkan entiti seni yang terus hidup, berkembang dan memberi inspirasi.

GenKRU The Finale: One More Time bakal menjadi pentas pertemuan semula yang bukan sahaja merayakan kenangan, tetapi juga menyemai semangat baharu untuk generasi akan datang.

Leave a Reply

>
Media Panas

Discover more from MEDIA PANAS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading