Kuala Lumpur: Mungkinkah spesies Harimau Malaya pupus sepenuhnya 20 tahun lagi ? Nasib malang sama pernah dialami spesies badak sumbu Sumatera, badak sumbu Jawa, Merak hijau, burung white- shouldered ibis, bangau keria (sarus crane) dan serati hutan.
Bermula dengan angka 3,000 ekor sekitar 1950-an, populasi Harimau Malaya didapati terus menjunam kepada sekitar 150 ekor ketika ini. Angkanya terus merosot apabila haiwan pemangsa ini menjadi sasaran pemburu haram selain mati akibat nahas jalan raya.



Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim yang giat berjuang memastikan Harimau Malaya terus bertahan.
Sebagai khazanah negara, beliau menyifatkan Malaysia sangat bertuah kerana negara ini antara 13 negara dianugerahkan spesies Harimau Belang di habitat liar.
Namun beliau mengakui Harimau Malaya mengalami penurunan populasi yang berpanjangan di Semenanjung Malaysia sejak 1950-an.
“Sekitar 1950-an, populasi Harimau Malaya dianggarkan sebanyak 3,000 ekor sebelum ia mengalami penurunan drastik kepada 500 ekor pada 2010. Angkanya terus menurun kepada sekitar 250 hingga 340 ekor pada tahun 2014.
“Harimau Malaya pada hari ini menghadapi kemerosotan populasi yang amat membimbangkan sehingga ke angka bawah 150 ekor. Jumlah diperolehi ini adalah hasil bancian populasi Harimau Malaya menerusi Program 1st National Tiger Survey (NTS) dilaksanakan sebelum ini,” katanya bersempena sambutan Hari Harimau Sedunia yang disambut hari ini.
Tambahnya, program bancian populasi Harimau Malaya ini pertama kali dilaksanakan secara berskala besar di Semenanjung Malaysia.
“Ia dilaksanakan pada tahun 2016 hingga tahun 2020 iaitu selama lima tahun menerusi peruntukan Rancangan Malaysia ke-11.
“Program 1st NTS ini dilakukan di kawasan hutan-hutan yang dikenali sebagai Central Forest Spine mewakili hutan di Banjaran Bintang, Banjaran Titiwangsa, Banjaran Tahan dan kompleks hutan selatan Semenanjung Malaysia berkeluasan lebih 40,000 kilometer persegi.
“Kaedah survey dijalankan adalah dengan menggunakan kaedah pemasangan perangkap kamera. Sebanyak lebih 4,000 perangkap kamera dipasang untuk mendapatkan gambar Harimau Malaya. Gambar itu kemudian dikumpul dan dianalisa untuk mendapatkan anggaran sebenar populasi Harimau Malaya,” katanya.
Beliau berkata, Program 1st NTS ini juga dijayakan dengan kerjasama antara Jabatan Perhilitan dan pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti World Wide Fund Malaysia, Wildlife Conservation Society, Pelindung dan Rimba.
Tambahnya, menerusi 1st NTS, lebih 3 juta gambar berjaya dirakam termasuk gambar yang mencerap Harimau Malaya.
“Menerusi gambar Harimau Malaya dikumpulkan, corak belang pada badan Harimau itu dibandingkan untuk menentukan ‘identiti’.
“Inilah antara keunikan yang ada pada Harimau Malaya kita iaitu corak belang pada setiap badan harimau Malaya adalah berbeza seumpama cap jari manusia. Pengiraan statistik juga digunakan bagi menentukan anggaran populasi Harimau Malaya.
“Untuk itu, populasi Harimau Malaya yang dianalisa menerusi 1st NTS adalah kurang daripada 150 ekor,” katanya.
Kadir berkata, dalam usaha memastikan Harimau Malaya tidak pupus, Perhilitan terpaksa mengambil langkah luar biasa untuk menyelamatkan Harimau Malaya.
“Ketika ini Malaysia sedang memuktamadkan pelan tindakan baharu iaitu Pelan Tindakan Krisis Harimau Malaya (MTCAP). Matlamat MTCAP adalah bagi menangani secara langsung faktor-faktor penghalang yang menyebabkan populasi Harimau Malaya berkurang.
“Menyedari betapa seriusnya krisis dan nasib yang sedang dihadapi Harimau Malaya, tiga inisiatif dirangka Perhilitan.
“Pertama adalah menahan penurunan populasi Harimau Malaya, meningkatkan tadbir urus yang baik dan kecekapan dalam pengurusan pemuliharaan Harimau Malaya dan memastikan kemandirian Harimau Malaya di habitat liar terjamin,” katanya.
Jelasnya, bagi melengkap tiga inisiatif ini, terdapat sembilan tindakan strategik diliputi di bawah pendekatan ini iaitu meningkatkan penguatkuasaan dan rondaan (Boots on the Ground) dan memperkukuh Pasukan Tindak Balas Kawasan Terlindung Khas (Sparta) sebagai pasukan taktikal khas konflik Harimau Malaya.
“Selain itu, Perhilitan berusaha melindungi dan meningkatkan habitat Harimau Malaya, menubuhkan Pasukan Petugas Kebangsaan Harimau Malaya, menubuhkan Unit Pemuliharaan Harimau Malaya dan menubuhkan Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Usaha turut tertumpu bagi memperkukuh makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan, meningkatkan Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) untuk Kerajaan Negeri dan meningkatkan pengurusan habitat Harimau Malaya melalui skim akreditasi,” katanya.
Beliau berkata, tindakan ini memenuhi kriteria yang menyokong pelan pemulihan Harimau Malaysia dan mewakili komitmen Malaysia terhadap usaha seluruh Asia Tenggara untuk memulihkan dan mengekalkan populasi harimau di seluruh rantau ini.
“Usaha daripada tindakan ini tertumpu kepada menangani kemerosotan populasi dan kelangsungan hidup Harimau Malaya. Ia pada asasnya menggabungkan sains pemuliharaan dengan penguatkuasaan di lapangan.
“Di bawah rondaan bersepadu yang sedang dijalankan dikenali sebagai Ops Bersepadu Khazanah (OBK), kerjasama dilakukan antara Perhilitan, PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP). Lain-lain agensi berkaitan yang turut membantu memerangi jenayah hidupan liar adalah Wildlife Conservation Society Malaysia (WCS), Pertubuhan Pelindung Alam Malaysia (Pelindung), Malaysian Conservation Alliance for Tiger (MyCat), Panthera Malaysia (Panthera) dan World Wide Fund for Nature (WWF),” katanya.
Beliau berkata, pengurangan populasi Harimau Malaya adalah disebabkan beberapa faktor seperti kehilangan habitat dan sumber makanan akibat aktiviti pembukaan hutan dan perubahan guna tanah yang tidak seimbang.


Leave a Reply