KRU janji ledakan terakhir menerusi GenKRU The Finale: One More Time

KUALA LUMPUR: Selepas mencipta fenomena dengan empat malam berturut-turut Konsert GenKRU pada Mei lalu, trio adik-beradik, KRU sekali lagi bakal menggegarkan pentas dengan persembahan berskala besar, GenKRU The Finale: One More Time, di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada 22 November depan.

Konsert anjuran Icon Entertainment itu dijangka menghimpunkan lebih 12,000 peminat dari seluruh negara dengan konsep persembahan segar dan formasi berbeza berbanding konsert terdahulu

Pengasas Icon Entertainment Sdn Bhd, Iman Tang, berkata idea menganjurkan konsert ini tercetus selepas lima siri persembahan GenKRU, termasuk di Singapura, mendapat sambutan luar biasa.

“Ramai peminat minta kami teruskan jelajah ke negeri lain. Namun, faktor harga tiket dan nilai produksi membuatkan ia lebih praktikal di Kuala Lumpur

“Nama One More Time dipilih kerana ia judul trek dalam album baharu KRU, Kaset, dan pada masa sama membawa makna simbolik iaitu ‘satu kali lagi’.

“Saya suka Stadium Hoki Nasional kerana ia venue terbuka yang memberi lebih ruang untuk pelbagai idea persembahan direalisasikan. 

“Jika ada rezeki dan semua dalam keadaan baik, mungkin selepas ini kami boleh pergi ke lokasi yang lebih besar,” katanya pada sidang media konsert GenKRU The Finale: One More Time, di sini, hari ini.

Anggota KRU, Datuk Norman Abdul Halim, pula menjelaskan konsert kali ini bakal tampil dengan kelainan kerana dilangsungkan di venue terbuka.

“Jika sebelum ini diadakan secara tertutup, kali ini kita ‘re-imagine’ dalam skala berbeza dengan elemen yang tak dapat dilakukan sebelum ini.

“Ramai yang tak sempat menonton konsert lalu, jadi inilah peluang untuk kami hadiahkan persembahan luar biasa,” katanya.

Beliau turut menambah, ini adalah kali pertama artis solo menggunakan Stadium Hoki Nasional sebagai lokasi konsert berskala besar.

Jualan tiket GenKRU The Finale: One More Time akan bermula Jumaat ini, jam 2 petang, dengan harga antara RM188 hingga RM558.

Konsert GenKRU sebelum ini yang berlangsung pada 3, 4, 10 dan 11 Mei lalu di Axiata Arena, Bukit Jalil, melakar sejarah apabila diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR).

Antara pengiktirafan yang diterima termasuk Persembahan Terbanyak Dalam Satu Siri Konsert yang diberikan kepada trio KRU iaitu Norman, Datuk Yusry dan Edry. manakala Penjualan Tiket Terpantas Dalam Tempoh 1 Jam disandang penganjur, Icon Entertainment Sdn Bhd.

Leave a Reply

>
Media Panas

Discover more from MEDIA PANAS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading