SUNGAI PETANI 27 April – Seorang lelaki warga China mencetuskan kekecohan apabila memandu melawan arus sejauh kira-kira 500 meter sebelum terlibat dalam kemalangan di Bandar Laguna Merbok, malam Ahad.
Dalam kejadian di Jalan Lencongan Barat itu, kenderaan dipandu lelaki berkenaan bertembung dengan sebuah kereta lain yang dipandu lelaki tempatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 11.30 malam.
“Siasatan awal mendapati sebuah kereta Perodua Myvi berwarna hitam yang dipandu lelaki warga China telah memandu melawan arus sebelum bertembung dengan sebuah Proton Saga putih dipandu lelaki tempatan,” katanya.
Beliau berkata, pihak polis mengesyaki lelaki warga China berusia lingkungan 50-an itu memandu di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.
Menurutnya, pemandu terbabit mengalami kecederaan ringan di bahagian muka dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), manakala pemandu tempatan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Hasil siasatan juga mendapati individu terbabit dipercayai seorang pengarah syarikat dan polis sedang mengesan warisnya,” katanya.
Tambah beliau, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 45A dan Seksyen 45 akta sama.


Leave a Reply