Pegawai penyiasat didapati cuai, penganggur dibebas tuduhan amang seksual kanak-kanak

PUTRAJAYA 27 April – Seorang penganggur dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak di sini daripada pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, empat tahun lalu.

Hakim, M Kunasundary membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Tertuduh, Na Li Jin, 34, sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun lapan bulan ketika kejadian.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Damansara Perdana antara 7 hingga 8 Oktober 2022.

Dalam penghakimannya, Kunasundary berkata mahkamah mendapati pegawai penyiasat cuai kerana tidak menjalankan siasatan secara menyeluruh dan hanya merakamkan kenyataan dua saksi sebelum penahanan dibuat.

“Adalah menjadi tanggungjawab pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan menyeluruh. Dalam kes ini, laporan keganasan seksual dibuat selepas beberapa tahun dan mangsa adalah seorang kanak-kanak.

“Pegawai penyiasat mempunyai tanggungjawab besar memastikan semua aspek disiasat dengan teliti,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa berdasarkan keterangan saksi, tertuduh tidak menetap di rumah yang didakwa menjadi lokasi kejadian pada tahun 2022, sebaliknya hanya mula tinggal di premis berkenaan pada 2024.

“Selepas menilai semua bukti, mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap ketepatan pertuduhan yang dihadapi tertuduh,” katanya.

Sementara itu, peguam tertuduh, Muhammad Amirul Mukminin Mohd. Sufian berkata anak guamnya turut berdepan satu lagi kes di bawah akta sama, namun pertuduhan tersebut telah digugurkan selepas ibu mangsa menarik balik laporan.

“Ketika kejadian, anak guam saya bekerja sebagai pemandu van sekolah dan guru tuisyen,” katanya.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Sahat.

Leave a Reply

>
Media Panas

Discover more from MEDIA PANAS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading