KOTA BHARU 13 April – Seorang pelajar Tingkatan Satu maut selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta ketika sedang memakai kasut di hadapan surau di sebuah sekolah, di sini, pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Abang mangsa, Muhammad Ali Mustaqim, 15, berkata dia dimaklumkan kejadian berlaku selepas adiknya selesai menunaikan solat Zohor di surau sekolah.
“Saya berada di luar sekolah sambil menunggu rakan untuk pulang bersama.
“Kemudian ada rakan datang beritahu adik dilanggar sebuah kereta di depan surau sekolah,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, di sini.
Menurutnya, dia terus bergegas ke lokasi sebelum memeluk jenazah adiknya yang berada di tangga surau. Difahamkan, kenderaan yang melanggar mangsa diparkir di hadapan surau tersebut.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Azaudin Abdullah, 43, berkata beliau berada di tempat kerja sebelum dihubungi adik iparnya yang memaklumkan kejadian itu.
“Tiba di sana saya melihat anak sudah terbaring kaku dan ditempatkan di surau. Ketika itu saya sangat terkejut dan tergamam melihat jenazah anak,” katanya.
Beliau memaklumkan pihak sekolah mengesahkan kematian anaknya, namun tidak memperincikan butiran lanjut termasuk individu yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Menurutnya, mangsa merupakan anak ketiga daripada empat beradik dan tinggal bersama adik iparnya sejak kematian ibu mereka lima tahun lalu.
Jenazah mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjong Mas selepas proses bedah siasat selesai.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Mohd Azmir Damiri mengesahkan kejadian dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.


Leave a Reply