Pemandu ugut bakar kenderaan selepas kantoi cukai jalan tamat 8 tahun

ALOR GAJAH 17 April – Seorang lelaki bertindak agresif dengan mengugut mahu membakar kenderaan pacuan empat roda miliknya selepas cuba disita oleh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka dalam satu operasi di Lebuh Rembia, kelmarin.

Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, pemandu berusia 29 tahun itu pada mulanya memberikan kerjasama yang baik, namun keadaan bertukar tegang sebaik sahaja dia dimaklumkan bahawa kenderaannya akan disita.

Hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit melakukan beberapa kesalahan serius, antaranya tidak memiliki lesen memandu yang sah serta kenderaan tersebut tidak mempunyai perlindungan insurans.

Lebih mengejutkan, semakan lanjut mengesahkan cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) kenderaan pacuan empat roda berkenaan sudah tamat tempoh dan tidak diperbaharui selama lapan tahun.

Ketika proses sitaan dijalankan, lelaki itu bertindak menghubungi rakannya untuk mendapatkan petrol bagi tujuan membakar kenderaan tersebut sebagai tanda protes terhadap tindakan penguatkuasaan.

Situasi menjadi semakin provokatif apabila seorang penumpang yang juga rakan suspek turut campur tangan dengan melemparkan ugutan serta mendakwa dirinya merupakan seorang bekas tahanan.

Bagaimanapun, tindakan profesional dan pendekatan berhemah anggota JPJ yang bertugas berjaya meredakan kemarahan kedua-dua individu terbabit tanpa melibatkan sebarang kejadian tidak diingini.

Kedua-dua individu akhirnya akur dengan tindakan undang-undang yang diambil dan kenderaan terbabit kini telah dibawa ke depoh sita JPJ Melaka untuk tindakan lanjut.

Siti Zarina menegaskan bahawa JPJ akan terus komited melaksanakan penguatkuasaan secara tegas dan berintegriti tanpa tunduk kepada sebarang bentuk provokasi demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Leave a Reply

>
Media Panas

Discover more from MEDIA PANAS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading