MARANG 16 Mei – Polis kini giat memburu seorang tukang cat berusia 38 tahun selepas dua rakan jenayahnya ditahan kerana menyamar sebagai penjawat awam dalam satu kejadian samun di sebuah rumah kongsi di Kampung Surau Haji Yaakob, Bukit Payung, semalam.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd Sofian Redzuan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam apabila dua lelaki tempatan mendatangi mangsa yang merupakan buruh warga Bangladesh dengan memperkenalkan diri sebagai Pegawai Jabatan Imigresen (JIM).
Suspek kemudian mengarah mangsa menyerahkan pasport dan telefon bimbit, namun kelakuan mencurigakan itu menyebabkan mangsa bertindak memanggil rakan sekerjanya di tapak pembinaan berhampiran sebelum mengejar suspek yang cuba melarikan diri.
Ketika berlaku pergelutan di simpang jalan keluar, muncul suspek ketiga bagi membantu rakannya sebelum kedua-dua suspek bertindak mengeluarkan dua bilah parang sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di kepala dan jari.
Insiden berkenaan turut mengakibatkan salah seorang suspek mengalami cedera di kepala akibat terkena senjata tajam, manakala suspek ketiga berjaya meloloskan diri dari tempat kejadian dengan menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Ego Solariz.
Dua suspek yang berjaya ditahan rupa-rupanya merupakan pasangan adik-beradik berusia 29 dan 36 tahun yang mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berkaitan dadah, malah salah seorang daripada mereka didapati positif dadah jenis Methamphetamine.
Kes kini sedang disiasat dengan teliti mengikut Seksyen 394 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mendatangkan cedera ketika melakukan samun serta menyamar sebagai penjawat awam.


Leave a Reply