KANGAR 4 Mei – Pihak polis menahan seorang pemilik premis perniagaan perkakasan susulan penemuan kalimah Allah pada sebuah tokong kecil di premisnya di Seriab, dekat sini, yang tular di media sosial hari ini.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop memaklumkan bahawa lelaki berusia 61 tahun itu ditahan oleh pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar kira-kira jam 3 petang tadi.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama seseorang, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Terdahulu, Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, pihak polis menerima laporan pada jam 2.30 petang selepas seorang lelaki menonton video berkaitan kejadian itu melalui akaun Facebook “SAYA ANAK PERLIS”.
Siasatan lanjut kini sedang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) bagi melengkapkan kes tersebut.


Leave a Reply