Sandra Lim tamatkan penantian selama 54 tahun.

Kuala Lumpur: Wakil negara, Sandra Lim, 23, berjaya menamatkan kemarau penantian 54 tahun apabila layak ke Top 30 daripada 125 peserta di pertandingan Miss Universe 2024 di Mexico City, Mexico, hari ini.

Pencapaian itu sekali gus mencipta sejarah manis kerana kali terakhir nama Malaysia dipanggil adalah pada 1970 menerusi Josephine Wong yang berjaya ke Top 15 ketika itu.

Pelakon, model dan artis pertahanan diri terbabit memang diramal mampu mencipta kejayaan itu berdasarkan prestasinya yang cukup konsisten sepanjang beberapa minggu pertandingan itu berlangsung.

Terdahulu, Sandra yang berasal dari Selangor dinobatkan Miss Universe Malaysia 2024 pada 7 September lalu. Sejak awal lagi, dia sudah menjadi pilihan ramai untuk menang mahkota itu.

Bagaimanapun, dia menyifatkan perjalanan meraih mahkota itu bukan mudah. Malah, beberapa hari sebelum pertandingan bermula, kepalanya mengalami perdarahan akibat terhantuk.

“Dua hari sebelum ‘pageant week’, saya sedang menjalani penggambaran filem dan kepala saya terhantuk atas jalan raya sehingga berdarah. Saya sangat risau jika pengsan.

“Saya perlu imbangkan kerja dan pertandingan. Bulan ini saja, selama empat ke lima hari saya bersengkang mata bagi persiapkan diri untuk pertandingan ini. Keazaman itulah saya nak tunjukkan di luar sana.

“Apa saja yang kita ingin gapai, selagi kita beri sepenuh jiwa dan raga terhadapnya, kita mampu mengecapnya juga,” katanya.

Cukup menarik, persembahannya memperagakan kostum kebangsaan bertemakan Puteri Walinong Sari di pentas pusingan Miss Universe 2024 turut mendapat pujian satu dunia.

Kostum terbabit adalah hasil sentuhan pereka tersohor tempatan, Ezuwan Ismail.

Sementara itu, wakil Denmark iaitu Victoria Kjaer dinobatkan sebagai pemenang Miss Universe 2024.

Leave a Reply

>
Media Panas

Discover more from MEDIA PANAS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading