Sebutan kes rasuah Allahyarham Bung Moktar, Zizie Izette Jumaat ini

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan Jumaat ini bagi sebutan kes Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin dan balunya Datin Seri Zizie Izette A. Samad berhubung pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Berdasarkan semakan laman web mahkamah, perbicaraan pada peringkat bela diri sepatutnya bermula esok hingga lusa.

Namun demikian, Hakim Rosli Ahmad menangguhkan prosiding hingga 16 Januari ini bagi menetapkan tarikh perbicaraan baharu selepas membenarkan penangguhan yang dipohon pihak pembelaan.

Salah seorang peguam Bung Moktar, Ridha Abdah Subri ketika mengesahkan tarikh sebutan itu berkata, pembelaan mengemukakan surat penangguhan kepada mahkamah pada 5 Januari lalu.

“Saya sahkan tarikh sebutan baharu Jumaat ini, kami bersedia dengan prosiding pembelaan pada tarikh yang akan ditetapkan,” ujarnya.

Bung Moktar, 66, yang ketika itu Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah merupakan tertuduh utama dalam kes tersebut manakala Zizie Izzete didakwa bersubahat dengannya.

Zizie Izette kini menjalani tempoh iddah selepas suaminya meninggal dunia pada 5 Disember lalu di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.

Terdahulu, perbicaraan peringkat bela diri sepatutnya didengar pada 27 November dan 3 Disember lalu, namun ia ditangguhkan berikutan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November lalu.

Pada 22 Mei lalu, Bung Moktar dan Zizie Izette gagal peringkat akhir iaitu permohonan semakan di Mahkamah Rayuan untuk mencabar keputusan panel terdahulu yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berkenaan.

Mereka menyemak keputusan Mahkamah Rayuan pada 18 November 2024 yang memerintahkan pasangan itu membela diri selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan kedua-duanya yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 7 September 2023

Pada 2 September 2022, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.

Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019, dengan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette, 47, di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama

Leave a Reply

>
Media Panas

Discover more from MEDIA PANAS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading