Subang: Ratu Rock, Ella melahirkan rasa teruja untuk beraksi dalam showcase yang dijadualkan bakal berlangsung di Qatar, hujung April ini.
Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin, 60, berkata pengurusannya menerima jemputan daripada penganjur untuk menjayakan persembahan di negara terbabit.
“Persembahan ini sepatutnya akan dibuat hujung April sekiranya situasi perang di Asia Barat stabil dan okay. Sekiranya belum okay, kita tangguh dulu.
“Tapi setakat ini okay. Tiket semua dah dijual. Apa pun kita akan melihat kepada soal keselamatan sebelum ambil langkah seterusnya,” katanya.
Ella berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Jalinan Kasih bersama Pusat Kebajikan Anak-anak Yatim dan Ibu Tunggal (Hajah Kamariah), di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Ella berkata, dia tidak pernah beraksi di Qatar dan sangat bersyukur apabila diberikan peluang ini.
“Saya amat menantikan peluang ini sebab ia berbeza penonton dan suasana. Saya rancang akan bawa banyak lagu dan tiket pun hampir habis.
“Ia terbuka untuk sesiapa sahaja di sana. Alhamdulillah… syukur ramai rakyat Malaysia kat sana. Tapi kita tak letak pada rakyat Malaysia, sesiapa nak datang tengok pun okay,” katanya.
Sementara itu, Ella mengambil kesempatan Ramadan untuk meraikan hampir 40 kanak-kanak dalam program anjuran Rockqueen & Ella berkenaan.
“Apabila selesai buat program ini, saya rasa gembira, tidur lena dan rasa ‘fresh’. Kita doa yang baik-baik, semoga apa yang baik kita tetap dapat yang baik, insya-Allah,” katanya.


Leave a Reply