Stacy Menyala.

SELAMA 16 tahun sebagai anak seni banyak mematangkan Stacy Anam, 34, dalam usaha terus memantapkan kariernya termasuk menangani cerita sensasi yang muncul.

Bertindak secara profesional, penyanyi lagu Not For Sale dan Pelangi Senja ini turut menyimpulkan kisah sensasi yang terkait dengannya pada Oktober lalu sudah selesai dan tiada apa nak dikenangkan.

Sudah lama ‘move on’ dangan insiden itu, Stacy mahu memberi fokus kepada lagu terbarunya, Menyala yang disifatkan sebagai sentuhan sangat bermakna.

“Lagu Menyala ini amat istimewa buat saya kerana sepenuhnya dari segi melodi dan lirik dihasilkan oleh saya sendiri selaku komposer yang menggunakan nama Bunga Cantik.


“Tidak hanya itu, lebih menarik lagi untuk saya apabila muzik video lagu Menyala turut membabitkan ahli keluarga dan saudara-mara saya dari Sabah yang sudi menjayakannya.

“Jadi, saya berasa amat berbesar hati apabila orang-orang yang ditampilkan dalam muzik video Menyala ini semuanya adalah darah daging keluarga saya sendiri,” katanya.


Namun, menurut isteri penyanyi Akim Ahmad ini, dia tetap ada sedikit rasa sedih kerana ramai nenek moyangnya yang sudah tiada, sekali gus tidak berkesempatan mencipta kenangan bersama.

“Oleh itu, saya fikir memang kena ambil peluang ini untuk mengabadikan kenangan manis bersama semua ahli keluarga dan saudara-mara saya yang masih ada melalui penghasilan muzik video Menyala.

“Berbanyak terima kasih diucapkan kepada mereka semua yang sudah terbabit dan saya mendoakan kalian terus sihat dan menjalani kehidupan penuh bahagia,” katanya.

Mengulas mengenai elemen Sabah yang dimuatkan dalam penceritaan lagu dan muzik video dihasilkannya, Stacy atau Ummu Shaikhah Stacy Anam berkata, ia sudah lama dilakukan.

“Sebenarnya, sejak 2009 lagi saya sudah memasukkan istilah dalam dialek Sabah ke dalam karya lagu ditulis. Ia bukan perkara baru dalam lagu-lagu saya dan tak jadi isu pun.

“Lagipun, saya sendiri suka elemen Sabah itu ada dan yang pasti ia tidak menjurus ‘kenegerian’ sebab saya sekadar ingin menunjukkan rasa bangga sebagai anak jati Sabah.

“Saya sangat selesa kerana itulah diri saya. Malah, pada saya sifat sayang pada negara dan negeri tanah tumpah darah kita ini ada dalam diri setiap warga Malaysia yang menyanjung tinggi,” katanya.

Pada perkembangan lain, ibu tiga cahaya mata ini turut memberitahu dia teruja bakal mengadakan konsert solo di Sabah pada Jun tahun depan dan mahu memberi fokus pada acara itu demi peminat.

Menyala tak sindir pihak lain

Walaupun mengakui sudah ‘tutup buku’ dengan isu penarikan diri pada Konsert A Night With Sumandak Star: Ceritera Hati yang berlangsung baru-baru ini, namun tetap jadi sebutan.

Ia berikutan, timbul dakwaan mengaitkan lagu Menyala itu seakan ‘menyindir’ pihak lain dan ia terarah pada konsert terbabit dan Stacy menepis tegas dengan alasan tersendiri.

“Lagu Menyala ini tidak membawa apa-apa maksud negatif, termasuk dakwaan cuba memerli orang lain seperti diperkatakan. Lagu ini sudah lama saya siapkan, sebelum isu itu muncul.

“Ilham untuk saya hasilkan lagu Menyala diperoleh sebaik selesai menjayakan program realiti TV, The Hardest Singing Show pada Julai lalu. Jadi, usah dikaitkan lagi dan sokonglah lagu ini.

“Tapi, sekiranya ada juga pihak yang masih ingin mengaitkan lagu Menyala dengan insiden itu (penarikan diri), terpulanglah. Saya tak boleh halang pemikiran mereka,” katanya.

Menurut Stacy, yang pasti pembabitannya aktif dalam penciptaan lagu selain menyanyi adalah kerana minat. Termasuk, ia juga mendapat sokongan padu daripada suaminya untuk mereka berkarya bersama.

Sehubungan itu, lagu Menyala diterbitkan secara kerjasama oleh tiga syarikat rakaman iaitu Sony Entertaiment Malaysia, Alternate Records serta Rhythm & Rhyme Entertaiment.

Leave a Reply

>
Media Panas

Discover more from MEDIA PANAS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading