Subsidi minyak cecah RM5 bilion sebulan, Anwar minta penjawat awam bantu beri penjelasan

PUTRAJAYA 4 Mei – Kerajaan kini terpaksa menanggung kos subsidi bahan api mencecah RM5 bilion setiap bulan susulan ketidaktentuan harga minyak mentah global yang dipengaruhi oleh konflik di Asia Barat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan peningkatan mendadak itu jauh melampaui unjuran awal kerajaan yang sebelum ini hanya sekitar RM700 juta sebulan semasa pengumuman inisiatif subsidi bersasar dibuat.

Beliau menegaskan bahawa jika trend harga semasa berterusan, dana kerajaan sebanyak RM50 bilion setahun akan habis digunakan hanya untuk menampung subsidi bahan api bagi tempoh 10 bulan.

Sehubungan itu, Anwar menggesa penjawat awam di semua kementerian untuk memahami kekangan kewangan negara ini supaya mereka dapat membantu menjelaskan situasi sebenar kepada masyarakat bagi mengelakkan salah faham.

“Mana-mana ketua jabatan dalam mesyuarat itu terangkanlah sikit. Tidak boleh kata ini urusan Kementerian Ekonomi atau Kementerian Kewangan sahaja. Tak, ini urusan kita semua,” katanya pada perhimpunan bersama warga Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), hari ini.

Tambah beliau, Malaysia masih mengekalkan harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter, iaitu antara yang terendah di dunia berbanding negara-negara lain kecuali Brunei, namun mengakui langkah tersebut memberi implikasi besar terhadap perbelanjaan negara secara keseluruhan.

Leave a Reply

>
Media Panas

Discover more from MEDIA PANAS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading