KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, mengeluarkan waran tangkap terhadap usahawan selebriti, Norjuma Habib Mohamed yang berdepan lima kes mencederakan tiga individu dan melakukan khianat, tujuh tahun lalu.
Majistret, Illi Marisqa Khalizan, Nurul Izzah Shaharuddin, Fatin Dayana Jalil dan Noor Elynna Hanim Abd Halim mengeluarkan perintah itu selepas Norjuma, 44, gagal hadir ke prosiding yang bermula jam 9 pagi.
Usahawan tudung itu tidak mengikuti prosiding sehingga jam 1 petang meskipun kesnya dipanggil beberapa kali, menyebabkan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 26, 29 dan 30 Julai serta 2 Ogos depan.
Kelibat bekas personaliti televisyen itu dilihat sebelum ini mengenakan pakaian serba hitam, berada di lobi mahkamah pada jam 10.30 pagi dan sempat melemparkan senyuman serta melambai ke arah jurugambar yang menanti sejak awal pagi.
Namun, dia berpatah balik ke tempat letak kenderaan, dipercayai bagi mengalihkan keretanya dan tidak memasuki mahkamah sehingga prosiding tamat.
Pada 25 April lalu, wanita itu didakwa atas pertuduhan pertama, menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Afiq Ismail, 34, di premis perniagaan di Menara Atlan, Jalan Ampang di sini pada jam 8.43 malam, 21 Februari 2017.
Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa menyebabkan kecederaan dengan menendang betis kaki kiri seorang pengawal keselamatan lelaki warga Nepal, Neupane Tika Ram di pusat tuisyen di Plaza Batai Bukit Damansara di sini pada jam 3 petang, 29 Mac 2018.
Bagi pertuduhan ketiga, dia dituduh menyebabkan kecederaan dengan cara menampar pipi dan mencakar tangan Nur Solehah Rosli, 31, di sebuah kondominium di Wangsa Maju pada jam 10.30 pagi, 18 Oktober 2021.
Tiga pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda mencecah RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi dua lagi kes mengkhianat, Norjuma didakwa merosakkan palang keluar masuk kenderaan dan CCTV milik sebuah kondominium, dengan anggaran kerugian berjumlah RM4,700 di Taman U-Thant di sini, pada jam 7.44 dan 7.45 malam, 28 Julai 2023.


Leave a Reply