Kuala Lumpur, 17 Mac 2025 – Model dan pelakon terkenal era 2000-an, Zahnita Wilson, teruja ketika menjalani penggambaran video muzik “Aku Tetap Raya”, lagu terbaru nyanyian penyanyi baharu, Soma. Pengalaman itu menjadi momen istimewa buat Zahnita, yang sudah lama meninggalkan dunia seni dan lebih memberi tumpuan kepada keluarga serta kehidupan peribadinya di Kuantan.
“Saya tidak sangka akan kembali ke set penggambaran selepas berpuluh tahun menyepi. Sewaktu kamera mula merakam, perasaan bercampur-baur. Ada rasa gementar, ada juga rasa terharu kerana masih diberi peluang untuk berkarya, tetapi dengan bantuan pihak produksi yang berpengalaman serta sikap Soma yang sangat lembut membuatkan saya tidak kekok dan terus bersemangat” ujar Zahnita ketika ditemui di lokasi penggambaran.

Keterujaan Zahnita untuk kembali beraksi di hadapan kamera hadir di saat dirinya baru sahaja menghadapi dugaan bear dalam kehidupan peribadi. Dia baru-baru ini menjadi tumpuan selepas dikatakan terlibat dalam kes dipukul suami, satu insiden yang mengejutkan ramai pihak. Namun, Zahnita enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan hanya mahu memberi fokus kepada masa depan.
“Saya mahu terus kuat untuk anak-anak dan ingin menjalani kehidupan yang lebih bermakna selepas ini,”tambahnya lagi.

Lagu “Aku Tetap Raya” nyanyian Soma yang baru di lancarkan pada 6 Mac lepas di Concorde Hotel Kuala Lumpur menampilkan tema kekeluargaan dan erti sebenar sambutan Aidilfitri, menjadikan pemilihan Zahnita sebagai pelakon kedua setelah kemunculan istimewa artis senior terunggul Datuk Khadijah Ibrahim video muzik ini satu keputusan yang sangat bertepatan.

Lagu Aku Tetap Raya ini merupakan ciptaan bersama Belle Fattah, Adinda Amiro, dan Soma sendiri sebagai penulis lirik. Dengan diringi melodi yang ceria dan lirik yang menggambarkan semangat Syawal, lagu ini diharap dapat membawa keceriaan kepada peminat muzik tempatan sepanjang musim perayaan ini. Lagu ini sangat bermakna pada saya kerana, saya cuba tampilkan kemeriahan sambutan raya berkeluarga dan semangat untuk pulang beraya pada yang tinggal di kota, ujar Soma yang ditemubual baru-baru ini.

Soma yang sebelum ini telah melancarkan album pertama beliau Perjalanan dan Aku tetap Raya ini merupakan lagu raya pertama yang beliau hasilkan. Soma berharap lagu ini dapat memberikan keceriaan dan menjadi pilihan utama peminat sepanjang musim perayaan.
Menurut pihak produksi, keterlibatan dan pemilihan Zahnita dalam projek ini bukan sahaja memberikan elemen nostalgia kepada peminat lama, tetapi juga menjadi satu simbol kekuatan seorang wanita yang bangkit selepas melalui ujian hidup.
Video muzik “Aku Tetap Raya” yang baru dilancarkan secara digital pada 14 Mac ini serta kemunculan semula Zahnita Wilson pastinya akan menjadi antara momen yang dinanti-nantikan oleh peminat industri seni tanah air.
#akutetaprayasoma #akutetapraya #perjalanansoma


Leave a Reply