“Everything In Between”
Adriana Ghafar, personaliti Malaysia yang semakin dikenali ramai dan
naib juara pencarian Dewi Remaja 2019 akan melancarkan koleksi puisi sulungnya yang ditunggu-tunggu, “Everything In Between”. Pra-pesanan karya tersebut akan dibuka tidak lama lagi dan pelancaran rasmi dijadualkan akan berlangsung pada 15 Jun.
Kemunculan Adriana dalam dunia sastera merupakan manifestasi visinya untuk mendemokrasikan dan menjadikan puisi sebagai karya yang bersifat lebih inklusif serta dekat dengan semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia, latar belakang atau tahap pendidikan.
“Sebelum ini, puisi lazimnya dianggap sebagai karya yang sukar difahami, bersifat tradisional dan khusus untuk golongan elit intelektual. Persepsi ini menjauhkan golongan pemuisi muda yang baru muncul dan ingin berkongsi karya mereka secara terbuka. Diinspirasikan oleh pemuisi-pemuisi kontemporari, saya berhasrat untuk mempopularkan puisi dan membebaskan ia daripada ruang bilik darjah dan golongan
elit,” kata Adriana.
Karya ini digarap bagi menginspirasikan pembacanya untuk memanfaatkan puisi sebagai platform untuk bersuara. Menerapkan elemen moden, ia mengandungi unsur-unsur interaktif seperti animasi buku selak (flipbook animation) dan realiti terimbuh (augmented reality) bagi menyuntik nafas baru kepada bentuk karya malar segar ini sekali gus mewujudkan pengalaman membaca puisi yang menarik.
“Everything In Between”, sebuah gabungan puisi bahasa Melayu dan Inggeris, menyelitkan tema sejagat cinta, keluarga, penolakan, dan kecekalan. Karya ini mengandungi mesej khusus untuk golongan wanita dan anak muda yang mencari ketenangan jiwa, inspirasi, dan kekuatan dalam mendepani cabaran hidup.
Sebagai pejuang tegar hak-hak wanita, puisi-puisi Adriana juga mengangkat tema kesaksamaan gender dan pendayaupayaan wanita.
““Everything In Between” ialah projek yang dekat di hati saya dan ia cerminan intim kepada perjalanan
hidup saya yang disampaikan menerusi puisi-puisi yang dihasilkan dalam tempoh 12 tahun. Saya berhasrat untuk memotivasikan dan memperkasa orang lain agar terus kental dalam mengharungi cabaran hidup. Di samping itu, saya berharap agar buku ini menyalakan semangat dalam kalangan generasi lebih muda dan golongan yang terpinggir untuk menjadikan puisi sebagai platform penzahiran diri, menjuarai isu-isu yang dekat di hati mereka dan menginspirasi perubahan yang bermakna,” kata
Adriana.
Nur Nafissa Adriana binti Abdul Ghafar, atau lebih dikenali sebagai Adriana Ghafar, ialah bakat dinamik dalam dunia hiburan Malaysia. Sejak mula mencuri perhatian ramai menerusi program pencarian Dewi Remaja, Adriana terus melangkah jauh dan memikul pelbagai peranan sebagai pengacara, model,
pelakon dan pembaca berita. Wajahnya menjadi rebutan untuk menghiasi jenama-jenama terkemuka seperti Samsung, Wonda Coffee, Enfagrow, Prego dan Oxy. Adriana yang sedang membina kerjaya guamannya sebagai pelatih dalam kamar, menyerlahkan sisi terbaharu dirinya sebagai pemuisi dan penulis menerusi karya ini.
Mula menulis puisi sejak berada di bangku sekolah, Adriana mendapat inspirasi daripada penulis-penulis ternama dunia seperti Maya Angelou, Sharon Olds, dan Emily Dickinson, serta penulis-penulis terkemuka negara seperti A. Samad Said, Khadijah Hashim, dan Bernice Chauly.
Istimewa sempena pelancaran ini, “Everything In Between” akan ditawarkan dengan tiga pilihan kulit buku edisi terhad, yang ditandatangani Adriana sendiri. Koleksi puisi sulungnya ini dijual pada harga RM48 dan pra-tempahan boleh dibuat menerusi laman web rasmi adthebuku.com tidak lama lagi.