Kuala Nerang: Kira-kira 300 penduduk di sini mengambil peluang mengadakan kenduri dan majlis tahlil berhampiran kubur lama di Kampung Mong Gajah, Empangan Pedu semalam bagi mendoakan ahli keluarga serta nenek moyang mereka yang bersemadi di situ.
Majlis itu diadakan susulan tanah perkuburan dipercayai berusia lebih 100 tahun itu timbul sejak awal bulan ini akibat kemarau berpanjangan.

Penduduk, Ismail Md Daud, 62, berkata, mereka berpeluang mengadakan kenduri dan majlis tahlil di situ berikutan kampung itu hanya akan menjadi daratan empat tahun sekali.
“Apabila kami rancang adakan majlis tahlil dan kenduri, ramai penduduk yang mengambil kesempatan menaja makanan.
“Sejak petang kelmarin kami sudah memasang khemah dan yang bertugas sebagai tukang masak akan tidur di sini, antara menunya adalah 10 ekor kambing di masak kurma dan rendang , 30 kilogram (kg) daging lembu (gulai), 40 kg ikan lampam jawa (goreng), kerabu beka serta ulam-ulaman,” katanya.
Ismail berkata, biarpun gembira dapat berkumpul dengan sanak saudara, hatinya tetap berasa sayu mengenangkan arwah datuknya yang disemadikan di perkuburan itu.
“Bapa saya Md Daud Hassan, 90, pernah tinggal di Kampung Kuala berhampiran Kampung Mong Gajah. Kampung Kuala tidak pernah timbul sejak ditenggelamkan untuk projek empangan, bapa saya berpindah dari Kampung Kuala pada tahun 1955 kerana dia mendakwa terdapat banyak kematian akibat penyakit misteri.
“Sehingga sekarang kawasan ini (Empangan Pedu) menjadi tempat kami mencari rezeki, saya tidak terasa asing di sini, semoga majlis tahlil ini mendapat berkat dan pahala dihadiahkan kepada mereka yang sudah pergi,” katanya yang kini tinggal di Kampung Pinang di sini.
Bagi Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid yang turut menyertai majlis itu berkata, terdapat kira-kira 15 kampung yang ditenggelamkan untuk projek Empangan Pedu pada 1960-an dan ia dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman.
Katanya, penduduk kampung itu mempunyai sejarah tersendiri kerana difahamkan mereka membuka kampung itu untuk menyelamatkan diri daripada serangan Siam pada 1821 iaitu ketika mula tercetusnya Perang Musuh Bisik.
“Kita berdoa semoga mereka yang disemadikan di sini selamat dan sejahtera, selain itu kita juga berdoa semoga kawasan ini kembali dilimpahi air untuk disalurkan bagi kegunaan domestik, pertanian dan industri di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis,” katanya.