Kuala Lumpur : Penyanyi Adira Suhaimi, 32, tidak terasa hati, sedih dan marah sekiranya dia disapa dengan panggilan ‘janda’ kerana ia perkara benar dan memang itulah status dirinya ketika ini.
Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi berkata, baginya tiada apa yang ‘kasar’ pun jika dipanggil dengan gelaran janda itu dan tidak perlulah ‘sentap’ dengan cepat hanya disebabkan perkara remeh.

“Saya okay saja menggunakan perkataan ‘janda’ itu kerana dah memang betul saya sekarang seorang janda. Tak ada yang kasar pun bunyinya (janda) atau cuba mahu mempersendakan status seseorang yang dah pun bercerai.
“Di Sabah, negeri kelahiran saya memang biasa saja kami sebut ‘janda’. Jarang sekali nak sebut ibu tunggal ke atau apa. Panggilan janda, memang biasa dan tak ada nak terasa hati atau marah pun,” katanya ditemui pada pelancaran drama lakonannya, baru-baru ini.
Adira berkata, bagaimanapun dia faham tidak semua wanita bercerai boleh menerima panggilan janda itu dan ia hak masing-masing.
Cuma, perkataan itu tidaklah bermaksud kasar dan tidak menghormati status orang lain.
Pada 24 April lalu, Adira yang juga ibu tunggal empat anak sah bercerai talak satu dengan bekas suaminya, Datuk Seri Adnan Abu atau dikenali, Datuk Red, 47 di di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang.
Mereka hidup bersama selama sembilan tahun selepas berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 dan ketika itu, Adira juga adalah isteri kedua.
Penyanyi lagu Ombak Rindu ini kini menjalani kehidupan bahagia dengan empat cahaya matanya iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 2.
Adira juga kembali rapat dengan Datuk Red yang dipanggilnya ‘Abang Red’ sekali gus mengakui mereka dalam fasa ingin ‘mencuba semula’, termasuk merancang bernikah jika masih ada jodoh bersama yang ditentukan Allah.